293 Murid Terima Bantuan Awal Persekolahan YBR Di Kudat
- nabalunews
- Mar 11, 2025
- 1 min read

11 Mac 2025
KUDAT: Seramai 293 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai dan SK Dallas Pitas menerima Bantuan Awal Persekolahan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam satu majlis yang berlangsung semalam.
Majlis penyampaian bantuan yang disempurnakan Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang itu dianjurkan dengan kerjasama Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad.
Philip berkata, sumbangan itu adalah komitmen YBR dalam membantu komuniti yang memerlukan terutamanya dalam aspek pendidikan.

Katanya, sebagai salah satu agensi di bawah KUSKOP, YBR akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa kesejahteraan komuniti melalui pelbagai inisiatif.
“Program seperti ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Ia bagi memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada keperluan pendidikan asas." katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan berkenaan.
Turut hadir, Pemimpin Kemajuan Masyarakat N2 Bengkoka, Renald Saimon; Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ahli Parlimen Kudat, Watson Warison serta Penolong Kanan SK Pantai, Jony Dodong dan Guru Besar SK Dallas, Azman Mamnu.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, Junsim Rumunzing berkata, setiap murid menerima sebuah beg sekolah dan sumbangan wang tunai daripada YBR.
Katanya, beliau turut mewakili semua penerima menzahirkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, atas pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur bagi Sabah dan Sarawak.
“Inilah kepentingan dasar dalam membangunkan sektor usahawan dan koperasi, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.
“Kudat masih tergolong sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia dan diharap akan ada lebih banyak program pembangunan dapat dijalankan bagi membantu masyarakat di kawasan ini,” katanya.















Comments