30 banduan SHG tamat Kursus Asas Pertanian
- nabalunews
- Aug 27, 2025
- 2 min read

27 Ogos 2025
KENINGAU: Seramai 30 orang banduan Sekolah Henry Gurney (SHG) di sini berjaya menamatkan Kursus Asas Pertanian dengan cemerlang.
Kursus selama enam bulan itu dianjurkan bersama oleh Pengurusan SHG dan JJ Farm Onsoi yang mendedahkan teknik-teknik cantuman, penanaman, pembajaan dan penjagaan tanaman.
Dalam tempoh itu para peserta dibimbing sepenuhnya oleh Pengurus JJ Farm Onsoi Datuk Haji Jamawi Jaafar dan dibantu beberapa pegawai SHG.

Majlis penyampaian sijil tamat kursus disempurnakan oleh Jawami yang juga Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd yang berlangsung di Pusat Pengumpulan Hasil SHG pada Isnin.
Penyampain sijil itu sebagai tanda penghargaan dan pengikarafan atas komitmen mereka (peserta) dalam bidang pertanian.
Jamawi dalam ucapannya, menekankan kepentingan sektor pertanian sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negara, khususnya dalam usaha membangunkan komuniti luar bandar.
Katanya, ia sejajar dengan hasrat kerajaan mengurangkan kebergantungan import bahan-bahan makanan berasaskan pertanian dari luar negara.
Pada masa sama Jamawi turut memuji semangat serta komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang kursus berjalan
Beliau juga berharap agar segala ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya setelah mereka dibebaskan kelak.
"Jangan sia-siakan ilmu pertanian yang anda perolehi sepanjang kursus kerana ia sangat bermanfaat masa depan jika anda gunakan" katanya memberi suntikan semangat.
Terdahulu Pengarah Sekolah Henry Gurney Keningau Sirajuddin bin Abdul Majid, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kursus ini.
Beliau juga merakamkan penghargaan khusus kepada peserta yang telah menunjukkan dedikasi tinggi sepanjang tempoh kursus dan latihan.
Pada masa sama Sirajuddin menghargai usaha Jamawi yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program pembangunan kemahiran berasaskan pertanian.
Turut hadir Ketua Bahagian Korektif, SHG Keningau TPP Sharudin bin Tahir dan Pegawai-Pegawai Kanan SHG.















Comments