31 PATI Ditahan di Lahad Datu, 4 Lagi di KK
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

16 Februari 2026
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah terus mempergiat operasi penguatkuasaan apabila seramai 35 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam beberapa siri operasi di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.
Operasi di Lahad Datu melibatkan 22 pegawai penguat kuasa telah memeriksa 111 individu daripada kalangan warganegara Malaysia, Indonesia dan Filipina. Hasil pemeriksaan mendapati 31 warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Daripada jumlah tersebut, tiga lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan ditahan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi berasingan iaitu Ops Jaja di Kota Kinabalu, seramai 14 pegawai penguat kuasa telah memeriksa 10 individu dan empat PATI ditahan membabitkan dua lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa. Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta yang sama.

Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri Sabah.














