top of page
  • Wartawan Nabalu News

352 penerima e-Kasih di Pitas dapat lesen memandu B2


10 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PITAS: Program MyLesen yang dianjurkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah memberi manfaat kepada 352 penerima e-Kasih di daerah ini yang kini memiliki lesen memandu B2.


Program tersebut bertujuan untuk membantu golongan B40 dan kurang berkemampuan dari kawasan luar bandar mendapatkan lesen memandu selain meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan peraturan jalan raya dan keselamatan jalan raya.


Pembantu Menteri I, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah merangkap Adun N.3 Pitas, Datuk Sri Dr. Ruddy Awah, yang menyampaikan lesen tersebut kepada para penerima pada Sabtu, berkata program tersebut dapat meningkatkan sosioekonomi masyarakat di daerah ini.


“Pemilikan Lesen ini akan memberi manfaat kepada masyarakat di Daerah Pitas bagi memudahkan pergerakan menguruskan aktiviti-aktiviti seharian mahupun kecemasan sama ada dalam daerah sehingga keluar daerah tanpa rasa takut,” katanya.


Beliau juga berkata, pemegang lesen tersebut dapat membuka peluang pekerjaan seperti menjadi penghantar makanan Foodpanda, Grabfood dan sebagainya.


“Saya berharap penerima dapat mengurus dan menggunakan lesen tersebut dengan sebaiknya, jangan lupa perbaharui sekiranya tamat tempoh bagi memudahkan segala urusan,” tambahnya⁵[5].


Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Malaysia, Ibrahim Mohd Yusof; Pengarah JPJ Sabah, Mohd Harris Ali dan Pegawai Daerah Pitas, Nahalan Mehdunah.


Pitas merupakan daerah kedua selepas Tawau mengadakan program MyLesen yang bermula pada tahun 2019. Program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang di seluruh negara.



Comments


bottom of page