top of page
  • nabalunews

430,000 peminjam PTPTN langsung tak bayar berdepan tindakan


23 September 2024


MANJUNG: Kementerian Pendidikan Tinggi sedang mempertimbangkan beberapa tindakan termasuk undang-undang terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang langsung tidak membayar semula pinjaman mereka sebelum ini.


Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sehingga kini seramai 430,000 peminjam yang masih gagal dikesan belum membayar balik pinjaman tersebut.


Menurut beliau, perkara itu amat serius kerana melibatkan jumlah yang besar iaitu sebanyak RM6 bilion.


"Saya tidak merujuk kepada mereka yang sedang membayar ataupun yang lari sekejap, kurang bayar sekejap ini, tetapi yang kita maksudkan ialah mereka yang langsung dan sejak hari pertama sampailah sekarang tak peduli untuk membayar.


"Saya mengingatkan kepada mahasiswa-mahasiswi kita akan tanggungjawab moral kita iaitu wang ini adalah bentuk wang pinjaman nanti apabila selepas mereka belajar, mereka sudah pun mendapat pekerjaan yang baik, laksanakanlah tanggungjawab moral kita kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang pula," katanya kepada pemberita seperti dilaporkan Sinar Harian.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN di sebuah hotel di sini pada baru-baru ini.


Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed.


Sementara itu Zambry berkata, perkara tersebut akan diteliti secara mendalam dan dibawa ke kabinet untuk tindakan lanjut.


Bagaimanapun katanya, PTPTN masih menggunakan pendekatan berhemah dalam memastikan peminjam membayar balik pinjaman tersebut.


"Saya ingin tegaskan sekali lagi, kita tetap berhemah. Kita faham keadaan tetapi saya nak supaya mereka ini datanglah ceritakan keadaan mereka.

Comentários


bottom of page