top of page
  • nabalunews

54 INDIVIDU DIKENAKAN KOMPAUN RM1,000 DI LABUAN



22 Jan 2021


LABUAN: Polis Labuan telah mengeluarkan 54 notis kompaun RM1,000 kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 13 Jan lepas.


Pemangku Ketua Polis  Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata hampir setiap hari kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuklah kesalahan perjalanan rentas negeri dengan memasuki Labuan menerusi laluan tikus.


Kesalahan lain turut dikesan dalam sekatan jalan raya adalah menaiki kenderaan persendirian melebihi had ditetapkan iaitu hanya dua individu dibenarkan, katanya.


"Selain itu, kesalahan lain turut direkodkan adalah seperti 'bersantai' dengan rakan-rakan di pantai serta ada yang didapati jogging di persisiran pantai," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekatan jalan raya di Jalan Tun Mustapha hari ini.


Ibrahim mengingatkan mereka yang dikenakan kompaun untuk menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu sebelum dihadapkan ke mahkamah jika gagal berbuat demikian.


Dalam pada itu, beliau berkata lebih 30,000 kenderaan diperiksa dalam dua sekatan jalan raya sejak PKP mula dilaksanakan 13 Jan lepas. - Bernama

bottom of page