- Wartawan Nabalu News
70 buah pelan pekan, bandar baharu telah dirancang, dilaksanakan LPPB

24 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) telah merancang dan melaksanakan pewujudan 70 buah pelan pekan dan bandar baharu di seluruh negeri bagi memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi rakyat.
Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, projek-projek tersebut melibatkan pembangunan infrastruktur dan prasarana asas yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut Rancangan Lima Tahun Malaysia dengan peruntukan kewangan yang diperuntukkan.
“Daripada 70 pekan dan bandar baharu yang dirancang, 22 Projek Sambungan telah dilaksana, 34 Projek Sambungan sedang dilaksana dan 14 Projek Baharu akan dilaksana,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.
Beliau berkata, projek-projek tersebut adalah selaras dengan Pelan Struktur Sabah 2033 (PSS2033) yang disediakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) sebagai dokumen perancangan strategik untuk jangka masa panjang.
PSS2033 akan memandu dan mengawal serta membentuk negeri ini pada masa hadapan dengan pertumbuhan ekonomi, sosial dan pembangunan perbandaran sehingga tahun 2033 secara holistik, selaras dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025).
Tambah beliau, antara perancangan utama dalam PSS2033 adalah mewujudkan Bandaraya Metropolitan Kota Kinabalu (Greater Kota Kinabalu) yang merangkumi daerah Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar.
“Bandaraya Metropolitan Kota Kinabalu akan menjadi kawasan perbandaran yang lebih teratur dengan perumahan, sekolah, penjagaan kesihatan, pejabat pos, pejabat daerah dan semua perkhidmatan lain disokong oleh pemboleh pertumbuhan yang kukuh seperti infrastruktur yang lebih baik bagi menampung gaya hidup ke arah pendigitalan,” katanya.