71 kes pelancongan tanpa lesen direkodkan setakat April tahun ini
- nabalunews
- Apr 29
- 2 min read

29 April 2026
KOTA KINABALU: Sebanyak 71 kertas siasatan dibuka terhadap pengendali pelancongan haram di Sabah setakat April tahun ini sebagai sebahagian daripada tindakan berterusan membanteras aktiviti tidak berlesen dalam sektor itu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal berkata daripada jumlah itu, sebanyak 47 kertas siasatan dibuka pada 2025 dengan jumlah kompaun mencecah RM290,000.
“Sehingga 17 April tahun ini, sebanyak 24 lagi kertas siasatan telah dibuka melibatkan kompaun berjumlah RM86,000, tidak termasuk kes yang masih dalam siasatan,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Samuel Wong Tshun Chuen (Luyang-Warisan) berhubung jumlah pengendali pelancongan tanpa lesen yang dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Andi menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pelancongan tanpa lesen, sama ada melibatkan pelancong asing atau tempatan.
Jelasnya, penguatkuasaan terhadap pengendali pelancongan tanpa lesen adalah tertakluk di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Di bawah Akta 482, individu yang didapati bersalah mengendalikan perniagaan berkaitan pelancongan tanpa lesen termasuk perkhidmatan pengangkutan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, tindakan turut boleh diambil di bawah undang-undang lain yang berkaitan, termasuk oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi berkaitan.
“Bagi kes melibatkan pelancong asing, tindakan seperti pembatalan pas, pengusiran dan senarai hitam akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, kementeriannya juga sentiasa bekerjasama rapat dengan MOTAC serta agensi penguatkuasaan lain dalam menangani isu tersebut.
Selain itu, katanya kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Pelancong Sabah yang berfungsi sebagai platform penyelarasan tindakan dan pemantauan isu-isu keselamatan serta pematuhan dalam industri pelancongan.
Jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Langkah-langkah tegas ini adalah perlu demi melindungi hak pengusaha tempatan yang sah, menjamin keselamatan pelancong, dan memastikan industri pelancongan Sabah terus mampan dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.















Comments