top of page
  • Wartawan Nabalu News

76 KES BAHARU COVID-19 DI SABAH, MENINGKAT 26 KES BERBANDING KELMARIN



13 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini ialah sebanyak 76 kes meningkat 26 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,073.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, dua kematian turut dilaporkan masing-masing di Lahad Datu dan Tawau.



"Majoriti kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat iaitu sebanyak 41 kes, manakala sebanyak 22 kes berpunca dari kluster baharu dan sedia, sembilan kes dari saringan bergejala dan selebihnya dari lain-lain kategori.


“Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 16 kes, diikuti Tawau (13 kes), Kunak (12 kes), Kalabakan (10 kes), Penampang (enam kes), Lahad Datu (lima kes), manakala Semporna dan Sandakan masing-masing empat kes, Papar dan Kinabatangan masing-masing dua kes, serta satu kes dicatatkan di Ranau dan Beaufort.


“Daerah-daerah yang tidak mencatatkan kes baharu pada hari ini ialah Putatan, Kota Belud, Keningau, Tuaran, Beluran, Telupid, Tongod, Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom, Nabawan dan Tambunan,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, hari ini.


Masidi berkata, seramai 51 pesakit telah sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif 57,968 orang.


"Seramai 571 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 244 orang di hospital dan 327 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.


“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 33 orang dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.