top of page

Abqaree Keliru, Jabatan Air Bukan Bawah Bidang Kuasa Parlimen

  • nabalunews
  • Aug 18, 2025
  • 2 min read

18 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Masalah sebenar yang dihadapi rakyat bukanlah berpunca daripada kegagalan wakil rakyat, sebaliknya kelemahan Kerajaan Negeri sejak dahulu yang sehingga kini masih tidak mampu menyelesaikan isu asas yang membelenggu masyarakat.


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sepanggar, Rafee Jafree berkata, kenyataan Pemuda Gagasan Rakyat Darau, Abqaree Fawwaz Abekan berhubung kegagalan Ahli Parlimen Sepanggar menyelesaikan isu air sebagai tidak tepat dan mengelirukan.


Katanya, masalah bekalan air, adalah isu berpanjangan yang terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri.


“Namun, setiap hari pejabat Parlimen Sepanggar terus mengambil inisiatif menghantar bekalan air bersih menggunakan lori tangki untuk menampung keperluan rakyat apabila bekalan paip kerap terputus.


“Ini jelas menunjukkan komitmen YB Datuk Mustapha yang tidak pernah berdiam diri, bahkan terus mencari jalan untuk membantu masyarakat meskipun isu ini bukan dalam bidang kuasa beliau,” katanya.


Rafee berkata demikian bagi mengulas tuduhan Abqaree yang mendakwa Ahli Parlimen Sepanggar, YB Datuk Mustapha Sakmud gagal menyelesaikan masalah air di Sepanggar baru-baru ini.


Menurutnya, sebagai Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha telah melakukan pelbagai usaha termasuk dari segi pendidikan dengan menyediakan kelas tuisyen percuma kepada pelajar warga Sepanggar.


Katanya, ia bagi memastikan mereka mendapat sokongan tambahan dalam pelajaran.


“Hasilnya sudah mula kelihatan apabila ramai pelajar yang mengikuti program ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.


“Ia termasuk beberapa pelajar Sepanggar yang telah menerima Dermasiswa B40 untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat diploma.


“Dari aspek pembangunan, pelbagai projek infrastruktur kecil dan sederhana telah dilaksanakan, termasuk menaik taraf jalan kampung, membaik pulih kemudahan awam, serta menyokong keperluan sekolah-sekolah,” katanya.


Rafee berkata, dalam masa yang sama, kebajikan rakyat juga sentiasa diberi perhatian melalui pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar, keluarga berpendapatan rendah dan masyarakat yang berdepan tekanan kos sara hidup.


“Oleh itu, adalah tidak wajar Pemuda Gagasan Rakyat cuba mengalihkan kelemahan diri dengan menuding jari kepada Ahli Parlimen Sepanggar.


“Kami sebagai anak muda melihat sendiri usaha beliau di lapangan, mana yang di bawah bidang kuasa beliau, pasti diselesaikan.


“Ada yang dapat disampaikan kepada rakyat serta merta, ada yang memakan masa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page