top of page
nabalunews

Adik-beradik tiri tidak mengaku salah bunuh pemandu e-hailing


24 September 2014

Oleh Wartawan Nabalu News 


TAWAU: Sepasang adik-beradik tiri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing yang juga bekas suami tertuduh wanita, tahun lalu.


Tertuduh Nurima Juli, 35, dan Sadam Kiram, 30, masing-masing mengangguk faham pertuduhan dan membuat pengakuan itu di hadapan hakim Datuk Duncan Sikodol, selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Kedua-duanya didakwa mencapai niat bersama membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, di antara jam 7.30 hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.


Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama


Jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dikenakan hukuman mati.


Mahkamah menetapkan 18 Oktober depan untuk tarikh semakan kes.


Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abdul Latif, tampil menjalankan pendakwaan bagi mewakili TPR Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.


Tertuduh Nurima diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin, manakala, Sadam diwakili peguam Jhasarry P. Kang.


Sebelum ini, kes pembunuhan ini mendapat perhatian ramai kerana turut melibatkan anggota dan pegawai kanan polis, termasuk bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat membunuh mangsa.


Bagaimanapun, kesemua lapan tertuduh dibebaskan dan dilepaskan dari pertuduhan itu pada 25 Januari lalu.

Comments


bottom of page