top of page
  • Wartawan Nabalu News

Agong, Permaisuri mulakan Kembara Kenali Borneo di Tawau


3 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Tawau pada Ahad untuk memulakan Kembara Kenali Borneo yang bertujuan mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak.


Kembara bersejarah ini akan melibatkan perjalanan lebih 2,154 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei. Ini memberi peluang kepada rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.


Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.


Seri Paduka Baginda berdua juga sempat bergambar bersama 40 kanak-kanak daripada Tadika Kemas dan Perpaduan yang berpakaian tradisional pelbagai etnik. Seri Paduka Baginda juga berkenan beramah mesra dengan orang ramai yang menantikan keberangkatan Seri Paduka Baginda di sekitar lapangan terbang.


Seri Paduka Baginda berdua akan menghadiri Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau pada malam ini.


Kembara Kenali Borneo akan berlangsung dari 3 hingga 13 Sept dan meliputi lapan daerah lain di Sabah iaitu Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.

Comments


bottom of page