AirAsia tawar tambang rendah ke Sabah dan Sarawak sempena Aidilfitri – Anthony Loke
top of page
  • Wartawan Nabalu News

AirAsia tawar tambang rendah ke Sabah dan Sarawak sempena Aidilfitri – Anthony Loke


4 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SEPANG: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa AirAsia menawarkan tambang promosi sebanyak RM348 untuk penerbangan sehala dalam kelas ekonomi dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Sabah, dan RM298 untuk penerbangan ke Sarawak sempena sambutan Aidilfitri bulan depan.


Katanya, inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada 22,000 penumpang dan melibatkan 122 penerbangan lewat malam untuk 11 destinasi antara Semenanjung ke dua negeri berkenaan.


Tambang RM348 terpakai untuk perjalanan dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Sabah, yang merangkumi Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Bagi penerbangan yang berlepas dari bandar-bandar yang sama ke Sarawak, tambang RM298 adalah untuk perjalanan ke Kuching, Miri, Bintulu, dan Sibu.


Jelas beliau, tambang promosi tersebut ini boleh ditempah mulai hari ini sehingga 17 April, menerusi laman web airasia.com dan aplikasi AirAsia Move.


“Kerajaan terus berazam untuk memudahkan perjalanan udara bagi rakyat Malaysia dengan kadar tambang yang munasabah dan berpatutan. Komitmen ini merupakan usaha kerjasama dengan pemain industri seperti AirAsia untuk memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.


“Justeru, saya berbesar hati menyokong inisiatif tambang tetap AirAsia untuk sambutan Hari Raya akan datang,” katanya semasa Majlis Pelancaran Penerbangan Tambang Tetap Hari Raya hari ini.


Berbanding dengan tambang tahun lepas sempena Aidilfitri, AirAsia telah memberi diskaun yang lebih besar, kata Loke.


Tahun lepas, tambang maksimum untuk penerbangan sehala dari KLIA ke Malaysia Timur sebelum musim perayaan Aidilfitri adalah RM599.


“Disember lalu, kerajaan telah menetapkan tambang maksimum RM599 untuk penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak, dan Labuan, terpakai untuk perjalanan tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Kaamatan dan Krismas.


“Ini bagi menjawab aduan mengenai tambang penerbangan sehala melebihi RM1,000, yang membebankan saudara-saudara kita di Sabah dan Sarawak apabila mereka ingin pulang ke kampung.


“Saya mengakui bahawa dasar ini mungkin tidak dapat menampung semua permintaan, tetapi kerajaan melakukan yang terbaik dalam kemampuan kewangannya untuk menyediakan tambang yang berpatutan semasa musim perayaan,” katanya pada Isnin.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page