top of page

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 Kuat Kuasa 1 Jun Depan

  • nabalunews
  • Mar 15
  • 2 min read

15 Mac 2026


KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna dan pemodenan dalam konteks perjanjian sewa beli akan berkuat kuasa mulai 1 Jun depan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun, tempoh peralihan boleh diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.


Manakala katanya, penyedia yang sudah bersedia boleh mula menawarkan perjanjian sewa beli mengikut pindaan baharu sebaik sahaja tarikh kuat kuasa bermula pada 1 Jun 2026.

“Pindaan berkenaan memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78).


“Di bawah kaedah itu, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal.


“Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Pusat Beli Belah Suria, di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Armizan berkata, pindaan berkenaan juga menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan teknologi dalam perjanjian sewa beli.


Katanya, ini termasuk kebenaran untuk menggunakan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan proses perjanjian.


Sementara itu, Armizan berkata, pindaan Akta Sewa Beli itu termasuk dalam fokus agenda gerakan kepenggunaan pada tahun 2026 iaitu reformasi undang-undang yang terkait dengan hak dan kepentingan pengguna yang meliputi aspek pelaksanaan, pindaan dan penggubalan kerangka perundangan berkaitan.


“Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan bermula tahun lalu ialah memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna.


“Ini termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2025 dan Dewan Negara pada 4 September 2025.


“Akta 873 yang di bawah kawal selia oleh Kementerian Kewangan ini telah berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026,” katanya.


Armizan berkata, reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.

 
 
 

1 Comment


Marcos Pursell
Marcos Pursell
Mar 17

Très intéressant. Les tendances numériques sont bien présentées. Plus d’informations sont disponibles sur le site web. Cela enrichit la compréhension.

Jouez en ligne sur Golden Panda

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page