Alumni SK Babagon boleh bantu jayakan pembangunan Penampang: Ewon

26 Januari 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyeru alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Babagon supaya terus memainkan peranan aktif dalam membantu menjayakan pembangunan daerah Penampang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, alumni SK Babagon yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan boleh menyumbang kepakaran, dan cadangan-cadangan untuk kemajuan daerah ini khususnya masyarakat setempat.
Katanya, alumni sekolah ini adalah aset penting yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pertanian, pendidikan, dan sosial di Penampang.
“Gunakan pwndekatan koperasi untuk membangunkan tanah-tanah di kawasan ini untuk pertanian dan pelancongan.
“Kementerian saya sedia membantu menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk membangunkan kampung ini.

“Saya berharap usaha ini akan membawa lebih banyak manfaat kepada penduduk setempat dan memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Alumni SK Babagon, di Riverside View, Kg.Babagon, di sini, hari ini.
Ewon turut menghargai inisiatif jawatankuasa alumni pimpinan Datuk Stephen Sampil menghimpunkan bekas pelajar sekolah ini dan mengadakan kerjasama strategik dengan pihak sekolah melalui “Letter of Collaboration” bertujuan membantu membangunkan program berkaitan pendidikan di sekolah itu
“Sekolah ini telah melahirkan ramai alumni berkualiti dan banyak memberi kebaikan kepada kampung masing-masing dan juga kepada daerah Penampang dan Sabah.
Dari segi pembangunan pendidikan di kawasan Penampang, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau akan meneruskan inisiatifnya memberikan sumbangan kepada semua sekolah rendah dan menengah di kawasan itu.

“Sejak 2023, kita telah memperuntukkan RM5,000 setiap tahun kepada setiap sekolah rendah dan RM10,000 kepada setiap sekolah menengah di kawasan Penampang. Selain itu, sekolah pendidikan khas juga menerima RM10,000 setahun sebagai geran pentadbiran.
“Usaha ini diteruskan pada 2024 dan tahun ini, penyampaian geran akan dilaksanakan di SK Theresa Inobong, dan SK Babagon pastinya antara sekolah yang akan menerima sumbangan itu,” katanya.
Mengenai Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024 - 2035 yang Ewon ilhamkan melalui dapatan lapangan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang, ia akan menjadi input penting kepada penyediaan rancangan pembangunan kerajaan dan pelaksanaan setiap rolling plan di daerah itu.

“Dalam tempoh dua tahun pertama sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya telah melaksanakan beberapa inisiatif pembangunan Penampang dan kawasan Penampang Atas, iaitu Mukim Babagon dan Mukim Moyog.
“Antaranya penyukatan tanah di bawah Program PANTAS yang pertama di Kg Togudon, penukaran rezab tanah Kg Babagon, pembinaan jambatan konkrit Kg Timpangoh Babagon, premis Tamu Desa dan pelbagai projek kemudahan rakyat berskala kecil.
“Saya yakin alumni SK Babagon juga boleh membantu menjayakan pembangunan di Penampang khususnya dalam sektor keusahawanan, pelancongan dan pertanian yang amat sesuai bagi mukim di sini,” katanya.
Comments