top of page

AmanahRaya sasar buka pejabat satelit di empat penjuru Sabah menjelang 2027

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

17 Mac 2026


KOTA KINABALU: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) merancang memperluaskan operasinya di Sabah menerusi penubuhan pejabat satelit secara berperingkat di beberapa kawasan strategik termasuk Tawau, Sandakan dan Lahad Datu, menjelang 2027.


Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Jack Yap Ngee Heong berkata, konsep pejabat satelit itu membolehkan kakitangan syarikat ditempatkan secara berkala di lokasi terlibat bagi mengendalikan kes, mengumpul dokumen serta melaksanakan taklimat dan program kesedaran kepada masyarakat setempat.


Menurutnya, inisiatif peluasan berkenaan merupakan komitmen jangka sederhana selama tiga tahun yang telah dimulakan sejak tahun lalu, selaras dengan usaha meningkatkan akses perkhidmatan AmanahRaya di negeri ini.


“Sasaran kami adalah untuk memastikan perkhidmatan AmanahRaya dapat diakses dengan lebih meluas di empat penjuru utama Sabah menjelang 2027,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di sini pada Isnin.


Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan perkembangan serta inisiatif yang dilaksanakan AmanahRaya sepanjang tahun lalu, di samping berkongsi perancangan strategik syarikat bagi tempoh akan datang.


Dalam pada itu, Jack Yap berkata AmanahRaya kini giat melaksanakan kempen peringkat nasional, Kempen Bina Legasi, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan perancangan pewarisan.


“Melalui kempen ini, AmanahRaya memberi penerangan mengenai pengurusan harta pusaka, selain menawarkan promosi dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi produk terpilih seperti penyediaan wasiat, hibah dan pentadbiran pusaka serta diskaun yuran guaman bagi perkhidmatan tertentu.


“Kempen Bina Legasi bagi tahun ini telah dilancarkan pada 1 Mac lepas dan akan berlangsung sehingga 30 April,” ujarnya.


Beliau berkata, inisiatif promosi seumpamanya lazimnya diadakan dua kali setahun bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat merancang pengurusan harta lebih awal.


Sehubungan itu, orang ramai disaran mengambil peluang berkenaan, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri apabila ahli keluarga berkumpul dan boleh berbincang mengenai perancangan pewarisan.


Mereka yang berada di luar Kota Kinabalu boleh menghubungi talian hotline 03-8600 8950 atau melayari laman sesawang rasmi AmanahRaya di www.amanahraya.my untuk membuat temu janji.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page