Amaran Kepada Pemilik Kenderaan Terbiar
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

21 Mei 2025
PENAMPANG: Majlis Perbandaran Penampang (MPP) memberi amaran tegas kepada orang awam berhubung kesalahan meninggalkan atau meletakkan kenderaan terbiar di kawasan awam daerah ini.
Dalam satu notis makluman, MPP menegaskan, sebarang tindakan meletak, mendeposit atau membenarkan kenderaan terbiar, besi buruk atau sebarang objek terbiar diletakkan di tempat awam adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan pengalihan dan pendakwaan.
“Bagi motosikal, pemilik akan dikenakan kompaun sebanyak RM100, caj pengalihan RM30 dan caj penahanan harian sebanyak RM50.

“Manakala, bagi kereta, kompaun yang dikenakan adalah RM200, caj pengalihan RM100 serta caj penahanan harian sebanyak RM100,” menurut notis itu.
Selain itu, bagi bas atau lori dengan berat kurang daripada 3,000 kilogram, pemilik akan dikenakan kompaun RM300, caj pengalihan RM300 dan caj penahanan harian RM200.
Bagi kenderaan berat seperti treler atau tangki yang melebihi 3,000 kilogram, kompaun dikenakan adalah sebanyak RM500, caj pengalihan RM400 dan caj penahanan harian sebanyak RM200.
Menurutnya, semua barangan atau kenderaan yang disita akan ditahan atas risiko pemilik dan hanya akan dilepaskan selepas keputusan dibuat oleh pihak majlis.
“Sekiranya tiada pendakwaan dilakukan, pemilik boleh membuat tuntutan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penyitaan, manakala kenderaan atau peralatan yang tidak dituntut dalam tempoh sebulan dari tarikh penyitaan akan dilucut hak.
“Dalam kes pengalihan kenderaan yang dilakukan oleh syarikat swasta, caj akan dikenakan mengikut kadar yang ditetapkan oleh syarikat berkenaan,”katanya.
Comentários