top of page

Ambil Tindakan Intervensi Terhadap Koperasi Tidak Aktif.

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

18 April 2026


KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengambil tindakan intervensi terhadap kira-kira 30 peratus koperasi yang dikenalpasti tidak aktif di seluruh negara.


Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan membantu agar semua koperasi berkenaan lebih berdaya saing.


“SKM akan sentiasa mencari jalan membantu koperasi yang berdepan masalah agar dapat dipulihkan semula.


“Antara langkah yang sedang dipertimbangkan ialah pelaksanaan program konsolidasi atau penggabungan beberapa koperasi yang lemah supaya menjadi lebih kukuh dari segi modal, produk dan pengurusan.


"Yang aktif di seluruh negara lebih 60 peratus. Yang tidak aktif dalam 30 peratus. Jadi mana-mana koperasi yang kita kesan menghadapi masalah, program intervensi harus dibuat secepat mungkin supaya mereka boleh dipulihkan semula," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Bicara Koperasi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Bersama Agensi KUSKOP dan Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.


Mohamad berkata, antara punca koperasi menjadi tidak aktif ialah kelemahan dari segi pengurusan dan pentadbiran selain terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.


Katanya, ada juga koperasi yang gagal berkembang kerana tiada matlamat bersama dalam kalangan anggota serta kurang kepimpinan yang berpengalaman.


"Itu yang saya katakan antara punca koperasi jadi tidak aktif, pertamanya lemah dari segi pengurusan pentadbiran. Yang keduanya koperasi hanya mengharapkan bantuan kerajaan.


"Sebab itu penting wujudkan pengurusan yang cekap dan lantik Ahli Lembaga Koperasi yang lebih profesional supaya boleh bantu dari segi pentadbiran, pengurusan serta mewujudkan perniagaan untuk koperasi mereka," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page