top of page
nabalunews

Ambulans jenis pacuan empat roda dibekalkan kepada Klinik Kesihatan Simpangan



25 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Klinik Kesihatan Simpangan, Pekan Nabalu akan dibekalkan dengan kenderaan ambulans jenis pacuan empat roda pada masa akan datang.


Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia berdasarkan kepada faktor bentuk muka bumi di kawasan operasi klinik tersebut yang berbukit.


“Pada masa ini, kes-kes kecemasan di Klinik Kesihatan Simpangan akan dirujuk menerusi penggunaan perkhidmatan ambulans dari Klinik Kesihatan Kundasang (jarak 20.2 KM), Klinik Kesihatan Bundu Tuhan (jarak 15.1 KM) dan Klinik Kesihatan Tamparuli (jarak 40.3 KM), sama ada secara panggilan terus antara fasiliti atau melalui Medical Emergency Coordinating Centre (MECC).


“Memandangkan perolehan yang sedang dilaksanakan oleh KKM pada masa ini memfokuskan kepada ambulans jenis van, perolehan kenderaan ambulans jenis pacuan empat roda akan dilaksanakan pada masa akan datang,” jelas kenyataan itu lagi.


KKM menyatakan demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.


Dalam soalannya, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu meminta KKM menyatakan status ambulans yang telah diluluskan di Klinik Kesihatan Simpangan, Pekan Nabalu.


“Apakah masalah sehingga kenderaan itu belum dihantar sehingga kini dan bilakah kenderaan tersebut akan dihantar ke Klinik Kesihatan berkenaan,” katanya.


Menurut KKM, kementerian itu sentiasa komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses oleh rakyat.


“Penyampaian kesihatan ini termasuklah perkhidmatan ambulans untuk rujukan kes kecemasan.


“Untuk makluman juga, sejumlah 590 unit pembekalan ambulans baharu jenis van telah diluluskan yang sedang dalam proses agihan kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.


“Projek ini bagi menggantikan kenderaan ambulans yang telah uzur dan dilupuskan. Di bawah projek ini, sebanyak 33 unit kenderaan ambulans jenis van akan diagihkan ke klinik- klinik kesihatan di Sabah secara berfasa pada tahun 2025,” ujar kementerian itu lagi.

Comments


bottom of page