ANAK JATI KOTA BELUD PERKENAL APLIKASI RUNNER EXPRESS DELIVERYANAK JATI KOTA BELUD PERKENAL APLIKASI RUNNER EXPRESS DELIVERY
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ANAK JATI KOTA BELUD PERKENAL APLIKASI RUNNER EXPRESS DELIVERY


Azizul dan vendor berdaftar.

30 Mac 2021


Teks oleh: Hamidah Len

Foto oleh: Azizul Lemin


Berbekalkan prinsip, rezeki itu harus dikongsi bersama dengan semua orang mendorong anak jati Kampung Sembirai Kota Belud, Azizul Lemin,35, memperkenalkan aplikasi RunED (Runner Express Delivery)


Beliau yang pernah menjadi penolong jurutera di syarikat swasta selama hampir 10 tahun menjelaskan, RunED menyediakan empat kategori utama iaitu makanan, barang-barang runcit, penghantaran bungkusan dan perkhidmatan.



"Kategori makanan terbahagi kepada dua iaitu peniaga (vendor) yang mempunyai premis dan pengusaha makanan berlesen yang menjalankan produktiviti dari rumah.


Sebahagaian rider RunED.

"Pembelian barang-barang runcit juga dapat dilakukan menerusi aplikasi RunED di mana pelbagai barangan keperluan harian seperti hasil laut, keperluan dapur dan pakaian dapat dibeli menerusi aplikasi mudah alih ini.


"Kerancakan jualbeli atas talian terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir setahun meningkatkan permintaan kurier turut kami manfaatkan, iaitu pengguna boleh menggunakan aplikasi ini memesan bantuan 'rider' mengambil barangan di syarikat penghantaran seperti JnT dan lain-lain syarikat penghantaran.


Aplikasi RunED bantu permudahkan urusan masyarakat.


"Perkhidmatan keempat RunED memudahkan pengguna berhubung dengan individu  berkepakaran dalam sepuluh bidang seperti tuisyen, penjagaan kanak-kanak, kimpalan, elektronik, sewaan kereta, gunting rambut dan banyak lagi.


"Pengguna hanya perlu memuat naik khidmat yang diperlukan dalam aplikasi RunED dan masalah tersebut akan terapung dalam aplikasi.


"Para penyedia perkhidmatan boleh melihat kerja yang sesuai dengan kemahiran mereka seterusnya membida caj perkhidmatan untuk penyelesaian setiap masalah," jelas Azizul yang berpengalaman menganjurkan latihan pemasaran dalam talian.


Azizul di hadapan salah satu vendor berdaftar RunED.

Aplikasi RunED mulai beroperasi pada 1 Mac 2021 dan kini mempunyai 40 vendor aktif dan teradapat 20 orang 'rider' berdaftar.


''Kepada yang berminat menjadi 'rider', pendaftaran boleh dilakukan menerusi aplikasi RunED Rider yang boleh dimuatturun dari Google Playstore dan sesi temuduga dilakukan atas tujuan kawalan kualiti," ujarnya yang mulai mengumpul dana untuk menampung kos pembangunan dan operasi aplikasi sejak  2018 yang kini melebihi RM60,000.



"Sistem ini memudahkan vendor menambah pelanggan dan meningkatkan jualan, rider menambah pendapatan manakala pengguna menjana peluang ekonomi yang berpanjangan.



"Pengguna berpeluang memperolehi pendapatan seumur hidup menerusi program 'refer and earn' selama mana individu dirujuk berbelanja/menggunakan aplikasi ini.


"Idea ini muncul kerana bagi saya, rezeki yang ada harus dikongsi bersama dan memudahkan urusan itu satu perbuatan mulia serta bernilai tinggi.


"Walaupun berhadapan cabaran dari pelbagai arah, saya tidak akan mengalah, putus asa bukanlah pilihan melainkan terus melangkah dan terus berinovasi membantu masyarakat merancakkan kegiatan ekonomi," jelas alumni Politeknik Kota Kinabalu ini.


Mengakhiri perbualan, beliau menzahirkan harapan agar masyarakat terus memberi sokongan kepada aplikasi RunED untuk bersaing setaraf produk global yang lain.


"Jika kita mempunyai cita rasa yang tinggi, kita harus yakin, positif, percaya dan sentiasa optimis bahawa produk usahawan tempatan pun tidak kurang hebatnya berbanding produk luar," kata Azizul.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page