ANCAMAN SIBER SEMAKIN MEMBIMBANGKAN, KERAJAAN PERLU KEWANGAN BESAR TANGANINYA - ISMAIL SABRIANCAMAN SIBER SEMAKIN MEMBIMBANGKAN, KERAJAAN PERLU KEWANGAN BESAR TANGANINYA - ISMAIL SABRI
top of page
  • nabalunews

ANCAMAN SIBER SEMAKIN MEMBIMBANGKAN, KERAJAAN PERLU KEWANGAN BESAR TANGANINYA - ISMAIL SABRI


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

3 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan kos tambahan dalam memperkasakan pertahanan daripada ancaman siber yang semakin membimbangkan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Dalam wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia baru-baru ini, beliau berkata jika semua maklumat diceroboh dan ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan, negara tidak akan selamat dari sudut pertahanan.



''Terus terang saya katakan bahawa kita masih memerlukan kewangan yang besar untuk meningkatkan pertahanan dalam menangani ancaman siber tetapi saya tidak boleh dedah berapa peratus kemampuan pertahanan kita, namun kita perlukan lebih banyak (kewangan).


“Apabila semua maklumat kita diceroboh dan orang ambil keselamatan siber kita maka habislah tiada rahsia lagi dan negara kita tidak akan selamat dari segi pertahanan,” katanya.


Ismail Sabri berkata kerjasama dengan rakan strategik seperti Agensi Keselamatan Siber Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia dan Pusat Keselamatan Siber Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut dilaksanakan dalam menangani ancaman siber secara holistik serta proaktif selain kerjasama serantau dan antarabangsa.


Sementara itu beliau berkata Kementerian Pertahanan menggunakan pendekatan kerjasama Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) dalam menyelesaikan masalah perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk inisiatif pembiayaan swasta dan kaedah land swap.



Ismail Sabri berkata sebanyak 35,000 unit rumah diperlukan dan kerajaan pada tahun ini telah meluluskan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk membina 1,000 unit rumah.


“Jika 1,000 unit rumah setahun kita memerlukan 35 tahun untuk menyelesaikan masalah rumah ini, jadi kita tidak boleh tunggu dana kerajaan… kita akan mencari cara lain iaitu bekerjasama dengan pihak swasta dan awam.


“Melalui pemerhatian, saya dapati ramai anggota tidak mempunyai rumah dan terpaksa menyewa. Bagi mengatasi masalah ini, sebanyak 3,500 unit rumah yang berharga RM150,000 hingga RM250,000 seunit telah dibina menerusi program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) pada tahun lepas,” katanya.


Ismail Sabri berkata pada tahun ini, kementeriannya merancang projek kedua di Setapak di sini iaitu melibatkan 7,374 unit rumah yang berharga RM150,000 hingga RM400,000 untuk anggota.


Mengulas mengenai kebajikan veteran ATM, beliau berkata perkara berkenaan menjadi fokusnya pada tahun ini agar kebajikan mereka terus dibela dengan bantuan kewangan dan kesihatan.


“Mereka (veteran ATM) juga diberikan latihan menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang menyediakan latihan atau kursus kemahiran kepada veteran ATM untuk mereka mendapat pekerjaan selepas perkhidmatan.


“Tempoh berkhidmat dalam ATM ialah selama 21 tahun dan menerusi PERHEBAT mereka boleh menjalani latihan untuk menjalankan perniagaan dan sebagainya bagi menjana pendapatan,” katanya. - Bernama


bottom of page