AORB akan melabur RM360 juta bangunkan pelabuhan bertaraf EU
- nabalunews
- Jul 30, 2025
- 2 min read

30 Julai 2025
KOTA KINABALU: Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) akan melabur RM360 juta bagi membangunkan sebuah pelabuhan bertaraf Kesatuan Eropah (EU) khusus untuk pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam di Kota Kinabalu.
Pelaburan itu akan dilaksanakan menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan AORB, disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Pacific Sutera Harbour, hari ini.
Projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan akan mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan merentasi rantaian nilai industri.
Hajiji berkata, pelabuhan itu akan mematuhi piawaian ketat EU termasuk Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP), sistem kebolehjejakan, pemantauan Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) dan keselamatan makanan menyeluruh.
"Dengan kemudahan ini, kita boleh tembusi pasaran eksport premium yang selama ini terbatas akibat ketiadaan fasiliti yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam Western & Central Pacific Fisheries Commission (WCPFC) bakal membolehkan pelabuhan baharu ini menjadi pusat pendaratan sah bagi kapal penangkap ikan berdaftar dari serata dunia.
“Dengan unjuran 1,000 kapal setahun, masing-masing membawa purata 50 tan tangkapan, Sabah berpotensi mendaratkan 50,000 tan tuna setahun dan menjana nilai ekonomi sehingga RM1.8 bilion,” katanya.
Menurutnya, manfaat ekonomi bukan sekadar terhad kepada hasil tangkapan, malah meluas kepada pelbagai sektor sokongan seperti pembekalan ais, perkhidmatan bunkering, F&B dan perkhidmatan teknikal.
Dalam masa yang sama, Hajiji menegaskan bahawa pembangunan industri ini tidak akan mengabaikan kebajikan komuniti nelayan tempatan. Model pembangunan inklusif akan memastikan penglibatan nelayan pesisir dalam komponen hiliran bernilai tambah.
“Kita akan terus menekankan tadbir urus "environmental, social & governance"(ESG) yang mampan menjaga alam sekitar, masyarakat dan urus tadbir demi kelangsungan ekosistem marin serta kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.
Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut menyaksikan DBKK memeterai MoU dengan Petco Trading Labuan Company Ltd bagi membangunkan kompleks tenaga biogas di tapak pelupusan sampah Kayu Madang. Projek itu bakal menukar gas metana daripada sisa pepejal kepada tenaga elektrik hijau sebanyak 2 Megawatt.
Tenaga ini akan memberi manfaat langsung kepada sektor pembuatan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP). Ini contoh terbaik pendekatan ekonomi pekeliling sisa satu sektor menjadi sumber tenaga bagi sektor lain.
Hajiji berkata, kedua-dua inisiatif ini selaras dengan agenda Ekonomi Biru Sabah yang menekankan pembangunan mampan, nilai tambah industri perikanan serta peralihan kepada tenaga bersih.
“Kejayaan menarik pelaburan ini membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap prospek ekonomi Sabah. Saya yakin sinergi antara DBKK, sektor swasta dan kerajaan negeri akan mempercepat pertumbuhan ekonomi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah berada di landasan tepat untuk menjadi Hab Perikanan Laut Dalam terunggul di rantau ini susulan pelbagai kelebihan strategik yang dimilikinya.
Menurutnya, negeri ini bukan sahaja berada di laluan migrasi tuna antarabangsa, bahkan turut memiliki pelabuhan semula jadi yang terlindung dan berdekatan dengan negara pengeluar utama seperti Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea.
“Kita memiliki segala prasyarat dari segi lokasi, sumber, infrastruktur dan sokongan dasar –untuk memacu Sabah sebagai pusat pendaratan, pemprosesan dan pengeksportan hasil laut dalam berpiawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBKK atas usaha berterusan memacu pembangunan bandar raya dan kepada kedua-dua syarikat terbabit yang memilih Sabah sebagai destinasi pelaburan strategik mereka.















Comments