top of page

Asas Utama Sambutan Pesta Kaamatan Wajar Diteruskan

  • nabalunews
  • May 3
  • 2 min read

3 Mei 2026


TONGOD: Rakyat diingatkan agar kembali kepada tujuan asal Pesta Kaamatan bagi menghasilkan tanaman padi berikutan amaran global kemungkinan bekalan beras import sukar diperolehi menjelang penghujung tahun ini.


Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, negara berdepan risiko menghadapi krisis bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang jika orang ramai enggan berusaha menghasilkan tanaman padi sendiri.


Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan negara-negara sebelum ini mengeksport beras ke Malaysia akan menghentikan bekalan jika krisis Asia Barat berlanjutan.

“Konflik bersenjata yang semakin meruncing di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran berisiko menjejaskan rantaian bekalan makanan global.


“Malah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM) turut mengingatkan, stok fizikal beras negara hanya boleh menampung untuk tempoh enam bulan sehingga penghujung tahun ini,” katanya.


Beliau berucap merasmikan perayaan Pesta Kaamatan Mukim Tongod di Dewan Tertutup Majlis Daerah Tongod, semalam.

Masiung berkata, Pesta Kaamatan wajar menjadi pendekatan rakyat kembali ke akar umbi untuk menanam dan menghasilkan padi sendiri seperti dilakukan nenek moyang terdahulu agar tidak putus bekalan makanan keluarga.


"Negara India, Myanmar dan Vietnam telahpun menghadkan bekalan beras ke Malaysia sejak 2025 selain menaikan cukai import sebanyak 40 peratus menyebabkan harga beras import kini melambung tinggi.


“Rakyat Sabah tidak boleh bergantung selamanya dengan bekalan import lebih-lebih lagi Thailand, Vietnam dan Kemboja yang kini berdepan fenomena El Nino menyebabkan pengeluaran hasil padi merosot,” katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat perlu merebut peluang yang ditawarkan Kerajaan Negeri melalui pelbagi iniasitif dan bantuan untuk menanam padi di tapak tanah sendiri.


“Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) telah menawarkan subsidi tanaman padi sawah dan padi bukit sebagai langkah mengurangkan bekalan import.


“Sabah mengimport beras 400,000 tan metrik setahun sedangkan pengeluaran beras tempatan cuma 120,000 tan setahun,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page