AWAS PENIPUAN: Sindiket Samar Pegawai APM Sabah, Sasari Pengusaha Jahitan
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

23 Februari 2026
KOTA KINABALU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah memberi amaran keras kepada orang ramai dan pengusaha jahitan supaya tidak terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai agensi ini bagi tujuan penempahan pakaian korporat.
APM Sabah mengesahkan menerima beberapa aduan mengenai kegiatan individu tidak bertanggungjawab itu dan menafikan sebarang urusan pembelian atau tempahan baju korporat dalam tempoh ini.
Menurut kenyataan rasmi agensi berkenaan, modus operandi sindiket adalah dengan mendakwa pesanan dibuat bagi pihak APM Sabah, menyebabkan pengusaha yang terpedaya mengalami kerugian kewangan yang besar.
Tindakan menyamar sebagai pegawai jabatan dan mengemukakan tuntutan palsu kepada pengusaha jahitan serta pembekal pakaian merupakan satu kesalahan jenayah serius. APM Sabah memandang serius perkara ini dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan nama serta reputasi jabatan.
Perbuatan ini boleh disiasat di bawah undang-undang sedia ada termasuk kesalahan pemalsuan dokumen dan penipuan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Bagi mengelakkan menjadi mangsa, APM Sabah menasihatkan semua pengusaha, pembekal dan orang awam supaya membuat semakan terus dengan Pejabat APM Negeri Sabah sebelum menerima atau memproses sebarang pesanan yang menggunakan nama APM.
“Orang ramai diingatkan bahawa semua urusan perolehan rasmi APM hendaklah melalui prosedur kewangan dan saluran rasmi kerajaan yang sah serta disahkan oleh pegawai berautoriti terlebih dahulu,” kata pihak APM dalam kenyataan hari ini.
“Pastikan kesahihan dokumen rasmi termasuk Pesanan Tempatan (LPO) melalui saluran komunikasi rasmi. Jangan memulakan kerja atau penghantaran barangan tanpa pengesahan rasmi daripada pegawai yang berkenaan,” tambah kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan, pengesahan, atau aduan lanjut boleh dibuat melalui talian rasmi Pejabat APM Negeri Sabah. Mangsa yang terlibat juga dinasihatkan supaya membuat laporan polis segera bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.















Comments