- Wartawan Nabalu News
BANJIR: DUA PPS DIBUKA DI PENAMPANG DAN PUTATAN

17 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir dibuka di kawasan Penampang dan Putatan bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Haji Ibrahim berkata, pusat pemindahan itu ialah PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang menempatkan 31 penduduk dan PPS Dewan PPR Sri Keramat Putatan yang menempatkan tujuh orang mangsa banjir.

Beliau berkata, kedua-dua PPS banjir itu dibuka pada pukul 9:30 malam dan 12 tengah malam tadi.
“Polis Balai Penampang membuat pemantauan sepanjang masa dan tinjauan serta pemantauan banjir dilakukan seawal pukul 7 pagi tadi.
“Hasil pemantauan mendapati 16 buah kampung dan kawasan terjejas banjir, 12 jalan dinaiki air banjir dan tidak dapat dilalui kenderaan ringan kecuali kenderaan pacuan empat roda,” katanya.
Antara kampung dan kawasan yang terlibat adalah, Kampung Kolopis, Kampung Tuavon, Pekan Donggongon, Taman Penampang, Taman Sahabat, Kampung Dungkahang dan Perumahan Jalan Panglima Banting.
Sementara, jalan yang dinaiki air ialah Jalan Kibabaig, Jalan Kasigui, Jalan Bundusan Lama, Jalan Pekan Donggongon, Jalan Dakata dan Jalan Nambazan.
Beliau menasihatkan agar orang ramai terus peka keadaan semasa banjir dan sentiasa berwaspada selain bersedia untuk berpindah sekiranya perlu.

Sejak semalam semua petugas IPD Penampang diketuai oleh Mohd Haris turun padang memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terlibat banjir segera dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Pagi ini, Mohd Haris meluangkan masa melawat persiapan di Pusat Pemindahan Banjir Kompleks Sukan Daerah Penampang dan memantau kawasan banjir di sekitar Pekan Donggongon.
Hujan lebat beterusan sepanjang hari, semalam mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Penampang dan Putatan dinaiki air termasuk kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang.