Bank Rakyat salur hampir RM2 juta menerusi Mini Karnival di Sabah
- nabalunews
- Oct 12
- 2 min read

12 Oktober 2025
KOTA BELUD: Bank Rakyat agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sumbangan inisiatif Jangkauan Komuniti dan keusahawanan bernilai hampir RM2 juta yang memberi manfaat kepada lebih 4,300 penerima.
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, pada majlis penutupan Mini Karnival Bank Rakyat di Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Mini Karnival itu yang berlangsung selama dua bermula kelmarin (11 Oktober), dianjurkan untuk menyantuni masyarakat setempat dan usahawan melalui pelaksanaan pelbagai program Jangkauan Komuniti, keusahawanan serta literasi kewangan, sekali gus memperkukuh hubungan antara Bank Rakyat dengan komuniti luar bandar.

Antara sumbangan yang disampaikan ialah Bank Rakyat UNIpreneur berjumlah RM67,000 kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyokong pembangunan usahawan mahasiswa dan inisiatif RAKYATpreneur bernilai RM10,000 dalam usaha memperkasa usahawan asnaf.
Selain itu turut disampaikan sumbangan BaktiRAKYAT berjumlah RM30,000 bagi aktiviti menaik taraf laluan pejalan kaki di Unit Rekod Perubatan Hospital Kota Belud.
SK Narinang juga menerima sumbangan menerusi inisiatif Kebun Nuri Nutrisi sebanyak RM19,825, bagi projek tanaman hidroponik.
Sumbangan berjumlah RM7,100 turut diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah melalui inisiatif BR COMMUNI71 (BR Community) sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-71, yang memberi manfaatkepada 71 penerima warga emas serta ibu bapa tunggal.

Bantuan asnaf berjumlah RM11,000 turut disampaikan kepada Masjid Kampung Siasai Dundau, selain bantuan pelajar asnaf kepada SK Kuala Abai sebanyak RM10,000.
Sementara itu, Yayasan Bank Rakyat turut menyalurkan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.5 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 3,503 pelajar.
Ini merangkumi Bantuan Awal Pengajian Universiti Malaysia Sabah sebanyak RM100,000, Bantuan Awal Pengajian Program Ehsan@KUSKOP bernilai RM400,000, Tuisyen Rakyat Program Ehsan@KUSKOP bernilai RM370,000 dan Bantuan Asrama Desa Program Ehsan@KUSKOP sebanyak RM659,000.
Pada majlis yang sama, cek cura bagi Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0) bernilai keseluruhan RM50,000 turut disampaikan kepada lima usahawan.
Ketika berucap, Ewon berkata, Mini Karnival Bank Rakyat antara platform pemerkasaan ekonomi yang inklusif dan bermakna buat masyarakat setempat.
Katanya, ini juga penting dalam memastikan akses kepada maklumat, inisiatif tanggungjawab sosial korporat serta bimbingan keusahawanan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi turut sampai ke komuniti luar bandar.
“Di bawah KUSKOP, matlamat kita adalah jelas iaitu untuk menoktahkan kemiskinan melalui keusahawanan dan koperasi.
“Justeru, setiap program yang dilaksanakan haruslah memberi kesan dan impak yang nyata, bukanhanya dari segi pendapatan, tetapi juga dari aspek ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Pihak Kementerian bersama agensi di bawah KUSKOP akan terus melaksanakan pelbagai program yang memberi pendekatan menyeluruh, termasuk latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan, akses kepada pembiayaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dan koperasi serta program literasi kewangan dan digital,” kata Ewon.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari Mini Karnival itu berlangsung, termasuk pembukaan reruai jualan MADANI, taklimat produk dan pameran oleh agensi KUSKOP, program keusahawanan Santai Namun Sampai, reruai derma darah dan pertandingan mewarna Kelab NURI Bank Rakyat.
“Program ini dianjurkan oleh Bank Rakyat dengan sokongan Yayasan Bank Rakyat (YBR) serta pelbagai agensi di bawah KUSKOP termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), TEKUN Nasional, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), UDA Holdings dan SME Bank,” katanya.


















Comments