top of page

Bantuan Segera Disalurkan Kepada Sk Rampayan, Menggatal Susulan Bencana Banjir

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

6 Januari 2026


KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah hari ini mengumumkan penyaluran bantuan segera kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, yang terjejas akibat bencana banjir.


Bantuan itu disalurkan susulan lawatan kerja Menteri ke sekolah berkenaan bagi meninjau tahap kerosakan serta memastikan kelangsungan sesi persekolahan murid tidak terjejas.


Lawatan turut disertai Pembantu Menterinya Jordan Jude Ellron bersama pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari Sabin serta Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Moktar.

Hasil pemantauan mendapati kerosakan melibatkan perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta kemudahan bilik guru, yang memerlukan tindakan segera sebelum sesi persekolahan diteruskan.


Sehubungan itu, Menteri telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk membekalkan sekitar 300 unit meja dan kerusi murid, menggantikan lebih kurang 10 unit komputer dan sebuah pencetak yang rosak, serta menyediakan kira-kira 40 unit meja dan kerusi guru bagi menggantikan peralatan yang terjejas akibat banjir.


“Semua bantuan dan kelengkapan berkenaan perlu dibekalkan segera serta dihantar ke sekolah ini sebelum pembukaan sesi persekolahan pada Isnin minggu hadapan, bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kelangsungan pembelajaran murid,” katanya.

Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas tindakan pantas dalam menyelaras bantuan, serta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua pihak yang terlibat yang telah membantu kerja-kerja pembersihan serta pemulihan sekolah.


Selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir. Kementerian akan terus memantau keadaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya mengikut keperluan semasa.


Menteri turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian akan digerakkan bagi menyalurkan bantuan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas sebagai sokongan tambahan kepada usaha pemulihan.


Pejabat Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan murid dan guru sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi bencana.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page