top of page
  • nabalunews

Banyak pengalaman berharga di KUSKOP - Suriani

5 September 2024


PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Suriani Ahmad yang kini memegang jawatan sebagai KSU Kementerian Kesihatan merakamkan rasa bersyukur kerana telah diberi peluang selama 3 tahun 10 bulan memberikan perkhidmatan sebagai KSU KUSKOP.


Katanya sepanjang tempoh tersebut beliau telah bertugas di bawah kepimpinan 3 orang Menteri dan 4 orang Timbalan Menteri.


"Sepanjang tempoh itu, pelbagai pengalaman berharga yang telah diperolehi dan tidak dapat dilupakan. Namun hanya kenangan manis yang akan saya simpan sebagai memori indah bersama KUSKOP.


"Saya merasa sangat beruntung dan bertuah dapat berkerja bersama-sama YB Menteri dan YB Timbalan Menteri yang komited, proaktif dan prihatin terhadap masalah rakyat khususnya golongan usahawan dan koperator.


"Saya bersyukur dalam melaksanakan amanah yang diberikan, saya sentiasa mendapat bimbingan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada YB Menteri dan YB Timbalan Menteri. Terima kasih saya ucapkan kepada YB Menteri dan YB Timbalan Menteri yang telah memberi sepenuh kepercayaan kepada saya, katanya.


Suriani berkata demikian di majlis penyerahan nota serah tugas KSU KUSKOP kepada penggantinya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud di Putrajaya, hari ini.


Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Timbalan Menteri KUSKOP,

Dato' Ramanan Ramakrishnan

Timbalan Menteri, Khairul Dzaimee, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak,

Ketua-ketua Agensi KUSKOP, Setiausaha-setiausaha Bahagian dan pegawai-pegawai Kanan KUSKOP.


Katanya tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak, kejayaan dalam memenuhi aspirasi pihak-pihak berkepentingan, tidak mungkin tercapai.


"Tanpa sokongan dan kerjasama Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, ketua-ketua agensi, Setiausaha Jabatan, pegawai-pegawai kanan dan seluruh warga KUSKOP, kita tidak akan mencapai kejayaan bersama dalam memenuhi aspirasi pihak-pihak berkepentingan," katanya.


Suriani mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga KUSKOP atas semangat kerja berpasukan selama ini. Kerjasama berpasukan merealisasikan impian, katanya.


Beliau memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang menjalankan tugas di KUSKOP.


"Sekiranya saya ada terkasar bahasa, menyinggung perasaan atau menguris hati mana-mana pihak, saya berharap janganlah simpan di dalam hati kerana tiada secebis pun niat melainkan hanya untuk memperbaiki mutu perkhidmatan KUSKOP kepada rakyat. Maafkan segala salah dan silap saya kepada kalian," katanya.


Suriani berharap agar semua warga KUSKOP dapat memberikan dokongan dan kerjasama penuh kepada Khairul Dzaimee selaku KSU KUSKOP yang baharu sebagaimana yang telah diberikan kepadanya selama ini agar KUSKOP akan lebih gemilang di masa akan datang.


"Saya percaya tugasan ini akan dapat dilaksanakan dengan cemerlang oleh pengganti saya. Saya ucapkan Selamat Bertugas kepada Yang Berbahagia Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud !," katanya.


Suriani mengakhiri ucapannya dengan beberapa rangkap pantun yang berbunyi : -


“Gadis manis membawa belati,

Belati dibawa bersama peti,

Janganlah suka bersedih hati,

Walau perpisahan telah menghampiri.”


“Layang kertas tak kunjung terbang,

Terbang sekali jatuh akhirnya,

Buat warga KUSKOPku yang tersayang,

Jagalah diri kalian semuanya.”


“Kalau ada sumur di ladang,

Boleh saya menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.”


Beliau mendoakan agar KUSKOP akan terus setia dan cemerlang membantu usahawan dan koperator dalam memajukan ekonomi negara.


"Ingatlah bahawa ada KUSKOP untuk semua, dengan KUSKOP pasti cemerlang," katanya.

Comments


bottom of page