KESUMA bakal lancar inisiatif sokongan pekerja susulan krisis tenaga global
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

26 April 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bakal melancarkan siri inisiatif sokongan komprehensif bagi menangani impak krisis bekalan global terhadap pasaran buruh, sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata langkah proaktif itu diambil susulan trend membimbangkan dalam pasaran buruh negara yang menyaksikan 5,900 rakyat Malaysia diberhentikan kerja bulan lepas, dengan pekerja di Selangor dan Kuala Lumpur paling teruk terjejas.
Katanya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja menerusi intervensi yang lebih dinamik, termasuk penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi global berpunca daripada tekanan geopolitik semasa.
“Penambahbaikan ini dijangka memberi manfaat lebih menyeluruh kepada pekerja, meliputi perlindungan sosial dan akses lebih mudah kepada program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).
“Usaha ini adalah langkah kritikal kementerian untuk mempercepat proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan lebih stabil, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Karnival Kerjaya Permium MYFutureJobs 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Ramanan berkata, KESUMA juga akan menganjurkan siri jelajah ke universiti di seluruh negara bagi mendekati bakal graduan, memahami cabaran mereka serta menyediakan dialog, bimbingan kerjaya dan padanan pekerjaan untuk memastikan bakat tempatan kekal relevan serta berdaya tahan dalam ekonomi mencabar.
Beliau ketika ditemui pada majlis itu berkata MYFutureJobs tahun ini menyasarkan untuk membantu lebih 200,000 pencari kerja memperoleh pekerjaan.
Menurut Ramanan, lebih 10,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji antara RM3,000 hingga RM16,000 disediakan pada Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan antara yang menawarkan peluang terbanyak.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Firdaus Akbar Khan berkata 10,000 lagi peluang pekerjaan akan di tawarkan sempena Karnival LINDUNG Kerjaya di Kota Kinabalu pada 9 dan 10 Mei ini.
“Saya difahamkan lebih 52 syarikat bersetuju menyertai karnival kerjaya itu. Harapan kami supaya setiap langkah dan rancangan yang disusun rapi oleh kementerian dapat dilaksanakan di peringkat negeri. Paling penting semua pencari kerja mempunyai peluang untuk mendapat pekerjaan,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. - Bernama















Comments