top of page

Ewon galak belia berpendidikan ceburi bidang keusahawanan bermula dengan perniagaan kecil-kecilan

nabalunews
12 hours ago
2 min read

29 November 2026


PUTATAN: Golongan belia termasuk mereka yang memperoleh pendidikan digalakkan menceburi bidang keusahawanan dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai langkah membina kerjaya dalam bidang perniagaan.


Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata, banyak usahawan yang memiliki perusahaan besar dan berjaya hari ini bermula sebagai penjaja dan peniaga kecil.



Katanya, terdapat pelbagai agensi kerajaan yang boleh membantu golongan belia memulakan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.


“Ini juga merupakan peluang kepada anak-anak muda yang walaupun sudah memiliki pendidikan, tetapi tidak salahnya juga untuk menceburi bidang keusahawanan, bermula dengan perniagaan kecil-kecilan di pekan-pekan, di bandar atau bermula di rumah sendiri pun kerana banyak agensi kerajaan yang boleh membantu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Sabah Edisi Putatan, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, kejayaan usahawan yang bermula sebagai penjaja dan peniaga kecil seharusnya menjadi inspirasi kepada golongan yang baharu menceburi bidang perniagaan.


“Kita telah melihat kisah kejayaan banyak usahawan yang memiliki perusahaan besar hari ini, banyak juga yang bermula sebagai usahawan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon berharap komuniti penjaja dan peniaga kecil terus memainkan peranan dalam menjalankan perusahaan masing-masing meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos perniagaan.


“Saya tahu cabarannya bukan mudah, kos perniagaan yang semakin meningkat, tetapi rakyat memerlukan produk-produk, rakyat juga memerlukan perkhidmatan dan ini bermula daripada komuniti penjaja dan peniaga kecil,” katanya.


Beliau berkata, kementeriannya turut menyediakan pelbagai program bantuan, bimbingan dan latihan keusahawanan menerusi agensi di bawah seliaannya termasuk Sedcovest dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).


Menurutnya, bermula tahun depan, kementerian juga akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu termasuk bantuan kepada sektor perkhidmatan, sokongan kepada gerakan koperasi serta gerakan keusahawanan dalam kalangan komuniti penjaja dan peniaga kecil.


Ewon berkata, sambutan HPPK di Putatan merupakan edisi ketiga yang dilaksanakan di Sabah tahun ini sebagai satu bentuk pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan komuniti penjaja dan peniaga kecil kepada ekonomi Sabah.

 
 
 

1 Comment


William Rutherford
1 hour ago

Artificial intelligence is making personal finance management more organized through automated insights and spending analysis. AI budgeting tools can categorize transactions, identify spending patterns, and help users monitor financial goals. When supported by strong security and accurate data, these features can make everyday budgeting more convenient and informative.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page