top of page

MINDET akan laksana beberapa inisiatif baharu pembangunan keusahawanan mulai 2027 – Ewon

nabalunews
12 hours ago
2 min read

29 November 2026


PUTATAN: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu pembangunan keusahawanan mulai tahun depan bagi memperluas sokongan kepada golongan usahawan di negeri ini.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, antara inisiatif berkenaan ialah penyediaan bantuan kepada sektor perkhidmatan, sokongan kepada gerakan koperasi serta gerakan keusahawanan dalam kalangan komuniti penjaja dan peniaga kecil.


“Bermula tahun hadapan, dalam Belanjawan 2027, kementerian akan memulakan beberapa inisiatif baharu untuk menyediakan bantuan kepada sektor perkhidmatan, menyokong gerakan koperasi dan keusahawanan dalam kalangan komuniti penjaja dan peniaga kecil.


“Mudah-mudahan dengan inisiatif baharu yang akan diperkenalkan oleh kementerian ini akan dapat merancakkan lagi penglibatan semua usahawan di Sabah terhadap ekonomi kita di Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Sabah Edisi daerah Putatan, di sini, hari ini.



Ewon berkata, bantuan kepada sektor perkhidmatan itu meliputi perusahaan makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan kesihatan serta pelbagai perkhidmatan lain yang tidak melibatkan sektor perkilangan.


“Mereka ini bukan kilang, tetapi mereka layak dibantu kerana mereka juga menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai dan menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.


Mengenai sokongan kepada gerakan koperasi, Ewon berkata, kementeriannya akan menyalurkan peruntukan kepada koperasi yang memenuhi kriteria yang akan diperkenalkan kelak.


“Begitu juga dengan gabungan penjaja, kita akan menyokong penjaja-penjaja, persatuan penjaja di seluruh Sabah dan juga beberapa persatuan keusahawanan lain untuk mengadakan program-program keusahawanan,” katanya.


Beliau turut menjelaskan bahawa bantuan berkenaan perlu dimohon oleh pihak yang berkenaan.


Dalam pada itu, Ewon berharap komuniti penjaja dan peniaga kecil terus memainkan peranan dalam menjalankan perusahaan masing-masing meskipun berdepan pelbagai cabaran.


“Saya tahu cabarannya bukan mudah, kos perniagaan yang semakin meningkat, tetapi rakyat memerlukan produk-produk, rakyat juga memerlukan perkhidmatan dan ini bermula daripada komuniti penjaja dan peniaga kecil.


“Kita telah melihat kisah kejayaan banyak usahawan yang memiliki perusahaan besar hari ini, banyak juga yang bermula sebagai usahawan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.


Ewon turut menggalakkan golongan belia termasuk mereka yang telah memperoleh pendidikan untuk menceburi bidang keusahawanan dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, memandangkan terdapat pelbagai agensi kerajaan yang boleh membantu mereka.


Mengenai sambutan HPPK di Putatan, beliau berkata, ia merupakan edisi ketiga yang diadakan di Sabah bermula tahun ini dianjurkan pertama kali oleh Kerajaan Sabah melalui MINDET bersama dengan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS).


“Inisiatif ini merupakan satu bentuk pengiktirafan ke atas peranan dan sumbangan komuniti usahawan kecil, penjaja dan peniaga kecil kepada ekonomi Sabah selain menjadi platform pemasaran mereka serta platform perkhidmatan oleh agensi-agensi Kerajaan.


“Sebanyak empat edisi dilaksanakan iaitu Beluran, Kota Marudu, Putatan dan Kota Belud susulan pelancaran sambutan HPPK peringkat kebangsaan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya.


Bersempena sambutan ini, sebanyak 86 unit kanopi telah disampaikan kepada penjaja daerah Putatan, manakala usahawan-usahawan tamu mingguan Putatan pula diberikan kupon khas jualan.


Ewon turut meluangkan masa mengunjungi, menyantuni dan membeli produk sebahagian besar usahawan yang mengambil bahagian dalam sambutan ini.


“Saya akan terus bekepimpinan di kementerian untuk mengolah inisiatif-inisiatif baharu bagi membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page