top of page

Ewon minta KBS tambah peruntukan kemudahan sukan di Penampang, Kadamaian

nabalunews
5 minutes ago
2 min read

27 November 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk membina dan menaik taraf kemudahan sukan di Penampang dan Kadamaian, termasuk menggantikan trek balapan Stadium Penampang yang semakin usang.


Beliau berkata Stadium Penampang antara kemudahan sukan yang paling kerap digunakan di sekitar Greater Kota Kinabalu.


Katanya, Kerajaan Sabah telah membelanjakan RM5 juta untuk pemasangan lampu limpah di stadium itu, manakala trek joging di luar stadium turut dibina menggunakan peruntukan negeri.


“Bagaimanapun, trek balapan Stadium sudah mulai usang dan perlu diganti. Saya meminta supaya KBS menyediakan peruntukan bagi penggantian trek balapan baru ini. Keperluan lain seperti bumbung gelanggang terbuka dan astaka Padang B di Kompleks Sukan Penampang juga perlu dibina,” katanya ketika membahaskan peruntukan KBS pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.


Ewon turut meminta kementerian mempertimbangkan pembinaan bumbung dan pemasangan lampu di gelanggang bola keranjang di Penampang.


Di Kadamaian, beliau merakamkan penghargaan kepada KBS atas peruntukan pembinaan astaka padang di Kampung Nahaba dan berharap permohonan kemudahan sukan yang telah dikemukakan bagi kampung lain turut diberi perhatian.


“Saya juga telah menggunakan peruntukan khas Wakil Rakyat untuk membantu melengkapkan tanggungjawab menyediakan kemudahan astaka-astaka padang kampung, tetapi saya berharap KBS dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan ke Penampang dan Kadamaian,” katanya.


Dalam perbahasan itu, Ewon merujuk kepada peruntukan RM177.25 juta bagi gelanggang sukan, RM20 juta bagi pembangunan sukan komuniti dan RM40.1 juta bagi penyelenggaraan bangunan serta fasiliti KBS. Beliau turut menyebut peruntukan RM8.7 juta di bawah Dana Pembangunan Produk Sukan.


Ewon juga memohon sokongan kewangan KBS bagi penganjuran tahunan Kadamaian Adventure Run (KAR), yang disifatkannya sebagai acara sukan yang menjadi identiti Kadamaian dan menarik penyertaan antarabangsa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page