Sukan taekwando dan karate wajar dimasukkan dalam takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia – Ewon
nabalunews
2 minutes ago
2 min read
27 November 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar sukan taekwando dan karate dimasukkan dalam takwim kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Beliau meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan status cadangan itu serta sebab kedua-dua sukan berkenaan masih belum dipertandingkan dalam kejohanan MSSM di pelbagai peringkat.
“Sebagai bapa yang melihat pencapaian anak bertanding dalam sukan taekwando yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan taekwando, saya menyokong penuh agar acara ini dimasukkan dalam kalender MSSM,” katanya ketika membahaskan peruntukan KBS pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, kelmarin.
Ewon turut meminta supaya penyertaan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda, dalam sukan seperti sukan denai dan sukan luncur udara diberikan pengiktirafan dan sokongan kewangan yang setimpal.
Katanya, peruntukan RM56 juta di bawah Program Pembangunan Ahli Sukan bagi latihan dan bakat boleh dimanfaatkan untuk menyokong penyertaan dalam sukan berkenaan.
Menyentuh kemudahan sukan di Penampang, Ewon meminta KBS menyediakan peruntukan untuk menggantikan trek balapan Stadium Penampang yang semakin usang, selain membina bumbung gelanggang terbuka dan astaka Padang B di Kompleks Sukan Penampang.
Beliau berkata Kerajaan Sabah telah membelanjakan RM5 juta bagi pemasangan lampu limpah stadium itu, manakala trek joging di luar stadium turut dibina menggunakan peruntukan negeri.
Beliau juga meminta kementerian mempertimbangkan pembinaan bumbung dan pemasangan lampu di gelanggang bola keranjang di Penampang serta menyalurkan lebih banyak peruntukan bagi kemudahan sukan di Kadamaian.
Ewon merakamkan penghargaan kepada KBS atas peruntukan pembinaan astaka padang di Kampung Nahaba dan berharap permohonan bagi kemudahan sukan di kampung lain di Kadamaian turut dipertimbangkan.
Beliau turut memohon sokongan kewangan bagi penganjuran tahunan Kadamaian Adventure Run (KAR), yang disifatkannya sebagai acara sukan yang menjadi identiti Kadamaian dan menarik penyertaan antarabangsa.
Dalam perbahasan sama, Ewon menyatakan pendirian Kerajaan Sabah supaya had umur belia di negeri itu dikekalkan pada 40 tahun dan meminta KBS mengambil kira pendirian berkenaan dalam pelaksanaan inisiatifnya di Sabah.
Beliau juga mengimbas kemenangan Malaysia dalam Piala Thomas 1992 sebagai contoh bagaimana kejayaan sukan dapat menyatukan rakyat dan menyatakan kesediaannya menyokong usaha KBS ke arah itu.
“Kita patut membangunkan suasana itu. Menjuarai sukan, memenangi perpaduan dan kesatuan rakyat. Sama-sama mengibarkan bendera negara, sama-sama mahu menang untuk negara,” katanya.















Comments