Ewon gesa pindaan Akta Industri Pelancongan iktiraf koperasi

18 Nov 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meminda Akta Industri Pelancongan bagi mengiktiraf koperasi sebagai entiti perniagaan dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan koperasi melaksanakan perusahaan dan perkhidmatan pelancongan tertentu sebagaimana yang dibenarkan kepada entiti berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurutnya, gerakan koperasi merupakan agenda nasional dan banyak koperasi sudah terlibat dalam sektor pelancongan, termasuk memiliki hotel serta mengusahakan resort, pelancongan komuniti, perkhidmatan pengembaraan dan hospitaliti.
“Bagaimanapun, koperasi masih menghadapi halangan-halangan tertentu kerana Akta Industri Pelancongan pada ketika ini belum memasukkan koperasi sebagai entiti yang boleh melaksanakan perusahaan atau perkhidmatan tertentu sepertimana yang dibolehkan kepada entiti yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi MOTAC di Dewan Rakyat pada 17 November.
Sehubungan itu, Ewon menggesa kementerian menginstitusikan peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai salah satu pendaftar perniagaan pelancongan negara.
“Justeru, kementerian juga harus mendukung agenda nasional dengan menginstitusikan peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai salah satu pendaftar perniagaan pelancongan negara,” katanya.















Comments