top of page

Ewon bangkit hak Sabah, akses peruntukan dan pembangunan pelancongan komuniti

nabalunews
7 hours ago
2 min read

18 November 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkukuh sokongan terhadap pembangunan dan promosi pelancongan Sabah serta memastikan pengusaha pelancongan komuniti mendapat manfaat daripada peruntukan yang disediakan.


Beliau berkata, perkara berkaitan pelancongan kini sedang dibincangkan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak menuntut supaya bidang itu diletakkan di bawah Senarai Bersama berbanding Senarai Persekutuan ketika ini.


“Sementara perundingan MA63 masih berterusan mengenai perkara ini, kementerian mempunyai tanggungjawab besar untuk menyokong inisiatif-inisiatif pembangunan dan promosi pelancongan di Sabah dan Sarawak,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada 17 November.


Ewon berkata, sokongan berkenaan termasuk bagi menjayakan Kempen Tahun Melawat Sabah 2027 yang dijadualkan dilancarkan Kerajaan Sabah pada bulan hadapan.


Menurutnya, sebanyak RM201.550 juta diperuntukkan bagi Pembangunan dan Promosi Pelancongan, RM400 juta bagi Penganjuran Visit Malaysia 2026–2027 serta RM10 juta bagi Pemasaran dan Promosi.


“Saya ingin bertanya kepada kementerian, daripada jumlah keseluruhan aktiviti promosi pelancongan negara tersebut, berapa banyakkah peruntukan yang disediakan untuk menyokong Kempen Tahun Melawat Sabah 2027? Atau apakah inisiatif-inisiatif khusus yang dilaksanakan untuk mensasarkan kehadiran pelancong ke Sabah?” katanya.


Dalam pada itu, beliau meminta kementerian menjelaskan bagaimana pengusaha pelancongan komuniti di Sabah boleh mendapat manfaat daripada peruntukan pembangunan yang disediakan.


Katanya, Sabah mempunyai ratusan perusahaan pelancongan yang diusahakan komuniti melalui syarikat, koperasi, persatuan atau badan pentadbiran kampung, termasuk di Penampang dan Kadamaian.


Beliau merujuk peruntukan RM136.685 juta bagi Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan, RM150 juta bagi Penyelenggaraan Kemudahan/Infrastruktur dan RM69.050 juta bagi Pembangunan Ekopelancongan.


Turut dibangkitkan ialah peruntukan RM31 juta bagi Program Peningkatan Kemudahan Homestay serta RM31 juta bagi Program Pemuliharaan/Pemugaran Tinggalan Sejarah.


“Banyak yang mengadu kepada saya, setiap kali mereka memohon peruntukan, mereka selalu diberitahu, tidak ada peruntukan.


“Justeru, saya ingin menjemput Menteri atau Timbalan Menteri atau pegawai-pegawai kanan kementerian dapat turun ke lapangan di Penampang dan Sabah secara keseluruhannya meninjau sendiri perusahaan-perusahaan pelancongan ini dan membantu keperluan pembangunan. Saya percaya keperluan mereka bukanlah yang berskala besar dan wajar dibantu,” katanya.


Mengenai pemeliharaan warisan budaya, Ewon mencadangkan MOTAC mengadakan pertemuan dengan persatuan yang menerajui Sekolah Adat bagi membincangkan usaha membangunkan inisiatif itu.


Beliau berkata, komuniti di Sabah telah memulakan pembinaan sekolah adat di beberapa daerah, termasuk Penampang dan Kadamaian, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP).


Beliau turut mencadangkan sambutan Hari Orang Asal Sedunia dibangunkan dengan lebih proaktif setiap tahun sebagai antara usaha mempromosikan pelancongan dan kebudayaan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page