Ewon gesa percepat projek, naik taraf kemudahan kesihatan di Penampang dan Kadamaian

18 November 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa Kementerian Kesihatan mempercepat pelaksanaan projek pembinaan dan penaiktarafan kemudahan kesihatan di Penampang dan Kadamaian bagi memenuhi keperluan penduduk.
Beliau berkata, antara projek yang memerlukan perhatian ialah pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Penampang yang sudah lama tertangguh dan diharapkan dapat dimulakan pada tahun depan.
Menurutnya, berdasarkan jawapan bertulis kementerian terhadap pertanyaan lisannya pada 2 Julai lalu, projek itu dijangka ditender pada suku keempat 2026, manakala pelantikan kontraktor dijangka pada suku pertama 2027.
“Projek ini sudah lama tertangguh, dan saya berharap pada timeline kali ini, projek ini dapat dimulakan pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, kelmarin.
Ewon turut meminta kementerian meneruskan cadangan pembinaan hospital pakar di Penampang membabitkan tanah seluas hampir 20 ekar di Kampung Maang yang telah diperakukan di peringkat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) Daerah Penampang.
Pada masa sama, beliau menyokong cadangan penambahan fasiliti Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah di Bundusan serta pembinaan Klinik Kesihatan Timpayasa Penampang.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap peruntukan yang disalurkan bagi menaik taraf kemudahan kesihatan di Penampang dan Kadamaian, termasuk Klinik Kesihatan Penampang serta klinik desa di Kampung Babagon, Sayap, Kaung Ulu dan Lasau Takulung.
“Saya telah menggunakan peruntukan Ahli Parlimen Penampang untuk membantu keperluan di Poliklinik Penampang pada tahun 2024 dan juga 2026 ini. Saya berharap keperluan fasiliti di Poliklinik Penampang ini akan terus diambil tindakan oleh kementerian,” katanya.
Bagi Kadamaian, Ewon berharap cadangan pembinaan klinik desa baharu dapat dilaksanakan, khususnya di Kampung Nahaba dan Kampung Tolus, membabitkan tapak yang telah dikenal pasti melalui mesyuarat LUC Kota Belud.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai status rancangan menaik taraf dan memindahkan Klinik Desa Kampung Kiau ke tapak baharu, sebagaimana pernah dicadangkan susulan lawatan Menteri Kesihatan terdahulu selepas gempa bumi Gunung Kinabalu pada 2015.
“Saya meminta supaya penaiktarafan Klinik Desa Kampung Kiau kepada Klinik Kesihatan Kiau dapat dimasukkan dalam peruntukan RP2 RMK13 iaitu pada tahun hadapan sepertimana yang telah dikemukakan serta mengambil kira jarak klinik desa ini dengan Hospital Kota Belud, iaitu 53 kilometer,” katanya.
Selain itu, beliau meminta Klinik Desa Kampung Sayap dan Klinik Desa Kampung Lasau Takulung dinaik taraf kepada klinik kesihatan dengan mengambil kira jarak masing-masing sejauh 28.5 kilometer dan 30 kilometer dari Hospital Kota Belud.
Ewon turut berharap kementerian memberikan perhatian terhadap keperluan Klinik Kesihatan Taginambur, terutama penyediaan kuarters kakitangan dan perolehan kelengkapan baharu.
Dalam perbahasan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap perluasan akses kesihatan rakyat melalui Skim Perubatan MADANI, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) serta Bantuan Alat Sokongan/Alat Tiruan (BAT).
Beliau turut mencadangkan inisiatif COMBI diperluaskan melalui kerjasama kementerian dengan badan pentadbiran kampung atau kejiranan.
Kementerian Kesihatan diperuntukkan RM47.7 bilion dalam Belanjawan 2027, termasuk RM6.749 bilion bagi pembangunan.















Comments