top of page

Ewon gesa bantuan penyelenggaraan RIBI diperluaskan di Sabah

nabalunews
41 minutes ago
3 min read
Ewon menjelaskan permasalahan berkaitan bantuan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Hajah Aiman Athirah sebelum persidangan Kamar Khas bermula.
Ewon menjelaskan permasalahan berkaitan bantuan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Hajah Aiman Athirah sebelum persidangan Kamar Khas bermula.

17 Nov 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menggesa bantuan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) diperluaskan kepada rumah ibadat di pedalaman Sabah, terutama yang dibina di kawasan perkampungan tanah adat dan rezab kampung yang belum diwartakan.


Beliau berkata, garis panduan inisiatif itu perlu dipinda atau dipermudahkan dengan mengambil kira keadaan sebenar di Sabah supaya isu geran tanah dan penggunaan akaun induk gereja tidak menjadi penghalang kepada penyaluran bantuan.


Menurutnya, sebahagian kampung di Sabah sudah wujud puluhan tahun, malah sebelum pembentukan Malaysia, tetapi masih belum diwartakan sebagai rezab kampung.


“Cabaran utama bagi menyalurkan bantuan seperti Inisiatif Penyelenggaraan RIBI kepada gereja-gereja ini adalah berada di dalam kawasan perkampungan tanah adat yang belum diwartakan sebagai rezab kampung, juga rumah-rumah ibadat ini tidak mempunyai geran tanah tersendiri.


“Saya juga mencadangkan agar garis panduan tersebut dipinda atau dipermudahkan bagi memastikan lebih banyak capaian manfaat dapat diberikan mengambil kira keadaan sebenar yang berlaku di Sabah,” katanya ketika membangkitkan perkara itu dalam persidangan Kamar Khas Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Ewon berkata, Sabah mempunyai sekitar 2,853 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dengan sebahagiannya mentadbir lebih daripada sebuah perkampungan, menjadikan jumlah sebenar kampung melebihi 3,000.


Katanya, terdapat juga perkampungan yang telah lama wujud sebelum kawasan berkenaan diwartakan sebagai hutan simpan dan kini masih dalam proses untuk dikeluarkan daripada kawasan itu.


Beliau berkata, kewujudan surau dan gereja di sesebuah kampung merupakan perkara biasa di Sabah, malah sesetengah kampung mempunyai beberapa gereja berikutan perbezaan denominasi penduduk.


Sebagai contoh, katanya, Kampung Piasau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian mempunyai gereja Sidang Injil Borneo, chapel Katolik dan gereja Seventh Day Adventist.


Beliau turut membangkitkan keadaan chapel Katolik yang menggunakan akaun induk di bawah pengurusan Bishop atau Paderi Paroki bagi menerima bantuan.


“Dalam situasi ini, bagaimanakah kementerian dapat memastikan rumah-rumah ibadat di kawasan pedalaman seperti ini terutama yang tidak mempunyai geran tanah dan juga yang menggunakan akaun induk pentadbiran gereja pusat boleh mendapat manfaat pelaksanaan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam ini?” katanya.


Pada masa sama, Ewon mengalu-alukan peningkatan peruntukan inisiatif itu daripada RM50 juta kepada RM60 juta menerusi Belanjawan 2027.


Beliau menyifatkan bantuan berkenaan sebagai manifestasi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta penghormatan terhadap kebebasan beragama yang turut diperingati melalui Batu Sumpah Keningau.


Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu berkata, permohonan daripada RIBI di perkampungan tanah adat yang belum diwartakan sebagai rezab kampung boleh diterima dengan dokumen sokongan atau kebenaran menduduki daripada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.


Bagaimanapun, katanya, penyelesaian status tanah merupakan prasyarat sebelum kelulusan bantuan kewangan dapat dimuktamadkan.


Beliau berkata, setiap permohonan juga perlu menggunakan akaun bank yang didaftarkan atas nama organisasi RIBI berkenaan, manakala penggunaan akaun pusat pengurusan induk atau gereja pusat tidak dapat dipertimbangkan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard kewangan Kementerian Kewangan.


Menurutnya, kementerian telah meluluskan RM13.22 juta bantuan kewangan bagi 84 RIBI di Sabah sepanjang 2023 hingga 2026.


Dalam pertanyaan tambahan, Ewon meminta kementerian mengambil langkah lebih proaktif, termasuk turun ke lapangan bersama bagi mengenal pasti rumah ibadat yang memerlukan bantuan di Penampang, Tuaran dan Kadamaian.


“Kita tidak bolehlah cakap terus tolak hanya kerana garis panduan itu. Kan kita yang buat. Jadi, apakah itu tidak boleh dipinda kerana kita memang ada situasi yang unik?


“Misalnya, kita boleh turun ke lapangan, lihat dan terus bantu mana yang bersesuaian selagi peruntukan masih ada,” katanya.


Dalam jawapan balasnya, Hajah Aiman Athirah berkata, pengesahan kerajaan negeri tetap diperlukan memandangkan urusan tanah berada di bawah bidang kuasa negeri.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page