top of page

Ewon hargai inisiatif MoT di bawah Anthony Loke, peletakan jawatan bukan ‘playing to the gallery’

nabalunews
6 hours ago
1 min read

16 November 2026


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif Kementerian Pengangkutan (MoT) di bawah kepimpinan Anthony Loke, selain menyatakan rasa hormat terhadap keputusan mantan menteri itu yang dilaporkan meletak jawatan atas prinsip.


Beliau berkata, pemimpin yang mengambil keputusan sedemikian berpegang kepada prinsip kepimpinan masing-masing.


“Terlebih dahulu saya ingin menyatakan rasa hormat kepada mantan Menteri Pengangkutan yang dilaporkan telah membuat keputusan meletak jawatan atas prinsip. Saya kira mereka yang telah mengambil keputusan yang sama berpegang kepada prinsip kepimpinan masing-masing, bukannya ‘playing to the gallery’,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.


Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Anthony atas pelaksanaan inisiatif FLYsiswa bagi membantu pelajar membeli tiket penerbangan.


“Saya harus menyatakan penghargaan kepada beliau kerana telah memulakan inisiatif FLYsiswa, iaitu inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institusi pendidikan awam,” katanya.


Beliau berkata, sebanyak RM48 juta diperuntukkan di bawah Butiran 031100 – Subsidi Tiket Penerbangan (FLYsiswa dan Musim Perayaan).


“Saya berharap inisiatif FLYsiswa ini dapat diteruskan dengan peruntukan yang bersesuaian sebagai imbangan kepada inisiatif diskaun tol yang juga melibatkan peruntukan Kerajaan,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon mencadangkan supaya inisiatif berkenaan diperluaskan bagi membiayai penerbangan tambahan ke Sabah dan Sarawak ketika musim puncak.


“Saya juga mencadangkan agar inisiatif FLYsiswa ini diperluaskan termasuk membiayai penerbangan tambahan, selain daripada jadual penerbangan sedia ada, ke Sabah dan Sarawak semasa musim puncak seperti perayaan Krismas, Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Kaamatan dan Gawai,” katanya.


Beliau turut menghargai pengenalan perkhidmatan BAS.MY atau Pink Bus di Kota Kinabalu dan berharap kemudahan itu dapat diperluaskan ke kawasan lain di Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page