Pindaan atau Undang-undang maritim, perkapalan perlu persetujuan Sabah – Ewon

16 November 2026
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menegaskan Kementerian Pengangkutan perlu mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum membawa undang-undang baharu, pindaan atau pemurnian undang-undang berkaitan maritim dan perkapalan ke Dewan Rakyat.
Beliau berkata, keperluan itu perlu diambil kira selaras dengan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dalam membuat undang-undang baharu, pindaan atau pemurnian undang-undang berkaitan maritim dan perkapalan, Kementerian harus mengambilkira keperluan mendapatkan persetujuan daripada Kerajaan Sabah sebelum undang-undang tersebut dibawa ke Dewan ini, sepertimana dalam Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berharap inilah semangat yang kita ingin jayakan dalam sama-sama membina negara ini berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perbahasan itu, Ewon turut meminta kementerian menjelaskan lokasi jeti di Sabah yang akan dibaiki dan dibina menerusi peruntukan RM10 juta di bawah Butiran 07900 – Pembaikan dan Pembinaan Jeti di Sabah.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai lokasi pelaksanaan projek Sambungan Rel ke Pelabuhan yang diperuntukkan sebanyak RM18.108 juta, selain dasar dan inisiatif kementerian bagi cadangan pembinaan rel kereta api ke Pelabuhan Sepanggar.
“Saya juga ingin bertanya mengenai dasar dan inisiatif Kementerian sekiranya terdapat cadangan membina rel keretapi ke Pelabuhan Sepanggar di Sabah? Apakah peruntukan yang sama boleh disediakan oleh Kementerian?” katanya.
Mengenai cadangan Trans-Borneo Railway, Ewon mengalu-alukan kajian kebolehlaksanaan yang telah dilaksanakan Kementerian Pengangkutan dan berharap hasilnya dibentangkan kepada Kabinet Kerajaan Sabah.
“Saya juga mengalu-alukan inisiatif kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan mengenai cadangan Trans-Borneo Railway. Saya berharap kajian tersebut dapat dibentangkan kepada Kabinet Kerajaan Sabah dan perbincangan susulan yang berkaitan dapat diperincikan.
“Saya berharap cadangan ini dapat dimasukkan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-13 supaya dapat dimulakan,” katanya.
Dalam sektor penerbangan, beliau mengalu-alukan peruntukan RM442.3 juta bagi pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan RM120.9 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Tawau.
Katanya, pembesaran lapangan terbang itu perlu disusuli penambahbaikan perkhidmatan serta kemudahan kaunter pelepasan, selain penaiktarafan fasiliti pengendalian kargo di KKIA bagi memenuhi peningkatan keperluan.
“Saya juga mencadangkan agar Kementerian bekerjasama dengan Kerajaan Sabah untuk mengadakan kajian lebih terperinci mengenai keperluan lapangan terbang baharu di Sabah termasuk di Lahad Datu bagi memacu cadangan special economic zone,” katanya.
Sementara itu, Ewon mencadangkan penambahan anggota Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, khususnya di bahagian penguatkuasaan.
Beliau turut mencadangkan penyeragaman undang-undang penguatkuasaan kenderaan perdagangan dengan mengenakan kompaun kepada syarikat pengangkutan, bukan kepada setiap unit kenderaan milik syarikat berkenaan.
“Saya juga mencadangkan agar Kementerian dapat mempelopori pembangunan pusat kawalan bersepadu penguatkuasaan undang-undang berkaitan pengangkutan termasuk yang melibatkan peranan pihak berkuasa tempatan,” katanya.















Comments