Sambutan HPPK Sabah platform bantu usahawan tingkat aktiviti perniagaan – Ewon

15 November 2026
BELURAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Sabah 2026 platform penting meningkatkan aktiviti perniagaan, memperluaskan pasaran serta mendapatkan perkhidmatan daripada agensi kerajaan.
Beliau berkata, inisiatif yang julung kali dianjurkan Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS) itu juga merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan komuniti penjaja dan peniaga kecil kepada ekonomi negeri.
“Selain menjadi platform pemasaran kepada usahawan, program ini juga menyediakan platform perkhidmatan oleh agensi-agensi kerajaan bagi membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mini Karnival HPPK Sabah 2026 Edisi Daerah Beluran, di sini, hari ini.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Dr Jonnybone Kurum, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri, ketua-ketua dan wakil jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin setempat.
Ewon berkata, penganjuran program itu adalag susulan Sambutan HPPK Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri pada 1 November lalu di Selangor.
Katanya, Beluran dipilih sebagai lokasi pertama daripada empat edisi sambutan yang akan dilaksanakan di Sabah sepanjang November hingga awal Disember ini.
“Selepas Beluran, sambutan ini akan diteruskan di Kota Marudu, Putatan dan diakhiri di Kota Belud.

“Mudah-mudahan pada tahun hadapan kita dapat meneruskan sambutan atau inisiatif ini di daerah-daerah lain pula,” katanya.
Beliau berkata, selain sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil, kementeriannya turut menganjurkan Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mempunyai matlamat sama dalam menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Katanya, walaupun kedua-dua program mempunyai pendekatan dan tujuan penganjuran berbeza, semuanya menjurus kepada satu objektif iaitu menyediakan platform kepada usahawan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di daerah yang menjadi tuan rumah.

Ewon berkata, Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa menghargai peranan dan sumbangan komuniti penjaja dan peniaga kecil dalam merancakkan aktiviti ekonomi negeri.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan terus meneliti dan memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu termasuk bantuan keusahawanan serta program bimbingan bagi memperkukuh keupayaan dan daya saing golongan berkenaan.















Comments