Ewon mahu CLC UPKO Sugut jadi jambatan kepimpinan bersama rakyat

15 November 2026
PAITAN: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berharap Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) UPKO Sugut dapat menjadi jambatan yang menghubungkan kepimpinan parti dengan rakyat di kawasan itu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, penubuhan CLC itu merupakan antara usaha memperkukuh struktur kepimpinan parti di peringkat kawasan, selain membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk terlibat dalam kepimpinan.
“Semoga ini dapat menjadi jambatan dalam kalangan rakyat untuk berkepimpinan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran CLC UPKO Sugut, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, CLC UPKO Sugut merupakan jawatankuasa perhubungan kawasan pertama dilancarkan selepas penubuhan CLC diinstitusikan dalam Perlembagaan UPKO susulan Persidangan Perwakilan Tritahunan parti itu pada Ogos lalu.

Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang dan Ketua CLC UPKO Sugut, Juli Apang atas inisiatif merealisasikan penubuhan jawatankuasa berkenaan.
Beliau turut meminta barisan kepimpinan dan ahli CLC UPKO Sugut memberikan kerjasama serta sokongan kepada kepimpinan kerajaan di kawasan itu.
“Saya juga meminta pimpinan CLC UPKO Sugut dan ahli-ahlinya agar memberikan kerjasama dan sokongan kepada pemimpin Kerajaan di kawasan ini, iaitu YB Datuk James Ratib selaku ADUN Sugut merangkap Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah,” katanya.















Comments