Bukan Nama Besar, Hanya Impian Besar – Damian

KOTA KINABALU: Dahulu, Rom hanyalah sebuah kota yang jauh daripada kehidupan Damian Lim Kim Yung, anak muda dari luar bandar Sabah yang menumpukan perhatian kepada pendidikan sambil belajar memanfaatkan peluang di hadapan mata.
Beliau tidak pernah membayangkan suatu hari nanti akan berada di kota itu, duduk bersama peserta pelbagai negara untuk membincangkan kepimpinan, demokrasi dan masa depan generasi muda.
Namun, penyertaan dalam Youth Democracy Summit 2026 di Rom, Itali, baru-baru ini, membuka ruang buatnya membawa pengalaman serta pandangan anak muda Sabah ke peringkat antarabangsa.
Bagi Damian, peluang itu hadir bersama tanggungjawab untuk menyuarakan harapan belia yang membesar jauh dari bandar dan berdepan akses terhad kepada maklumat, bimbingan serta platform pembangunan diri.

“Saya sedar bahawa bukan semua anak muda mempunyai akses dan peluang yang sama, khususnya mereka yang membesar jauh dari bandar.
“Oleh itu, saya melihat penyertaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu amanah untuk membawa perspektif dan pengalaman anak muda Sabah ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang amat bermakna, namun tetap melihat dirinya sebagai anak muda yang masih perlu banyak belajar.
“Bagi saya, tempat kita dilahirkan mungkin menentukan titik permulaan kehidupan, tetapi tidak seharusnya menentukan sejauh mana kita mampu melangkah,” katanya.

MEMBAWA SUARA BELIA LUAR BANDAR
Persidangan itu menghimpunkan perbincangan mengenai kepimpinan belia, penyertaan anak muda dalam proses demokrasi, tadbir urus inklusif, kesaksamaan gender dan pembangunan masyarakat.
Di sebalik perbezaan negara serta latar belakang peserta, Damian menemukan aspirasi yang dekat dengan dirinya, iaitu keinginan melihat anak muda diberikan ruang menyumbang dalam proses membuat keputusan.
Beliau turut mengetengahkan keperluan memperluas akses kepada peluang kepimpinan dan pembangunan masyarakat untuk belia luar bandar.
Menurutnya, ramai anak muda mempunyai idea, potensi dan semangat untuk menyumbang, namun berdepan kekangan mendapatkan maklumat, jaringan profesional serta bimbingan untuk melangkah lebih jauh.
Dalam perbincangan kumpulan mengenai tadbir urus inklusif, beliau berpeluang bertukar pandangan dengan peserta antarabangsa tentang usaha memperkukuh penglibatan generasi muda dalam pembangunan komuniti.
Pertemuan itu turut memperluas pemahamannya mengenai demokrasi, termasuk tanggungjawab masyarakat dan kepentingan menyediakan peluang yang adil untuk setiap individu menyumbang.
“Saya belajar bahawa demokrasi bukan hanya berkaitan pilihan raya atau politik, tetapi turut melibatkan tanggungjawab, penyertaan masyarakat dan peluang untuk setiap individu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Perbincangan mengenai kesaksamaan gender pula memberinya perspektif tentang keperluan membuka peluang kepimpinan kepada semua, tanpa mengira jantina atau latar belakang.
Namun, antara pelajaran paling dekat di hatinya ialah kesediaan untuk mendengar.
“Pengalaman ini mengajar saya bahawa kepimpinan bukan tentang siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang benar-benar bersedia mendengar, memahami dan bertindak untuk membawa perubahan,” katanya.
DIBENTUK PENGALAMAN DAN SOKONGAN
Keyakinan untuk berkongsi pandangan di pentas antarabangsa itu dibina secara beransur-ansur melalui pendidikan, kesukarelawanan dan penglibatan dalam kepimpinan mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pengalaman berkenaan mengajarnya tentang tanggungjawab, komunikasi serta keperluan memahami masyarakat sebelum berusaha membawa perubahan.
Damian turut mengakui peranan keluarga, pensyarah dan warga universiti dalam membentuk perjalanan dirinya.
Keluarga menjadi sumber kekuatan melalui doa, dorongan dan kepercayaan, manakala pengalaman di UMS membantunya membina pemikiran, kemahiran serta kematangan.
“Saya percaya bahawa setiap pencapaian seseorang tidak pernah terhasil daripada usaha individu semata-mata. Di sebalik peluang ini, terdapat sokongan, dorongan dan pengorbanan daripada ramai pihak,” katanya.
Bagi beliau, universiti turut menjadi medan membina jati diri, daya ketahanan dan kesedaran tentang tanggungjawab terhadap masyarakat.
Bekal itulah yang dibawanya ke Rom, sebelum kembali dengan kesedaran bahawa pengalaman antarabangsa perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang bermanfaat di tempat asal.
BERMULA DENGAN APA YANG ADA
Damian berharap pengalamannya dapat mendorong lebih ramai anak muda Sabah mencuba peluang baharu, termasuk ketika mereka merasakan diri belum cukup bersedia.
Katanya, sumbangan kepada masyarakat boleh bermula melalui tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten, antaranya menyertai kegiatan kesukarelawanan, membantu komuniti dan berkongsi ilmu.
Beliau juga melihat keperluan memperluas pendedahan belia luar bandar dalam pendidikan, kepimpinan, teknologi serta jaringan antarabangsa.
“Saya memahami bahawa tidak semua orang mempunyai peluang, kemudahan dan sokongan yang sama. Ada yang perlu berdepan kekangan kewangan, capaian maklumat atau kesukaran mendapatkan pendedahan kepada peluang di luar persekitaran mereka.
“Namun, saya percaya bahawa kita boleh bermula dengan apa yang ada, sambil terus berusaha mencari ruang untuk memperbaiki diri,” katanya.
Pesannya, keberanian untuk bertanya, memohon peluang dan menerima kegagalan boleh menjadi permulaan kepada perubahan dalam kehidupan seseorang.
“Kita mungkin datang dari sebuah kampung kecil yang tidak dikenali dunia, tetapi itu tidak bermakna impian kita perlu kekal kecil,” katanya.
MAHU LEBIH RAMAI MELANGKAH JAUH
Selepas pengalaman di Rom, Damian mahu terus memperkukuh pengetahuan dalam kepimpinan, pentadbiran dan pembangunan masyarakat.
Melalui penglibatannya sebagai Felo Sabah Maju Jaya 5.0, beliau berharap dapat memahami dengan lebih mendalam bagaimana dasar serta program pembangunan dirancang dan dilaksanakan untuk manfaat rakyat.
Beliau juga berhasrat membantu anak muda, khususnya pelajar luar bandar, mendapatkan maklumat dan peluang pembangunan diri, selain menyertai inisiatif yang menghubungkan belia dengan institusi pendidikan, agensi kerajaan serta organisasi masyarakat.
Bagaimanapun, beliau mahu membina pengalaman secara berperingkat dan memahami proses yang perlu dilalui untuk mencapai sesuatu matlamat.
Ukuran kejayaan yang diharapkannya juga dekat dengan kehidupan di kampung halaman, iaitu apabila ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat membantu anak muda lain meneruskan pengajian atau membina keyakinan mengejar cita-cita.
“Saya tidak mahu menjadi satu-satunya anak kampung yang berjaya melangkah jauh. Saya mahu melihat lebih ramai anak kampung diberikan peluang untuk melangkah lebih jauh daripada saya,” katanya.
Bagi Damian yang juga terpilih menjadi Felo SMJ di Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, perjalanan ke Rom membawa makna yang lebih besar apabila dapat membuka jalan kepada orang lain.
“Bukan nama besar, hanya impian besar.”















Comments