Bawa 40 Gelen Petrol Tanpa Permit, ‘runner Minyak’ Tumpas Di Tawau
- nabalunews
- Feb 4
- 2 min read

4 Februari 2026
TAWAU: Taktik membawa bahan api dalam kuantiti kecil bagi mengelak dikesan berakhir apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo, semalam.
Bot berkenaan yang dipercayai bertindak sebagai ‘runner minyak’ di perairan Tawau itu berjaya dipintas kira-kira 0.8 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan pada awalnya ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari arah Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot yang dikendalikan lelaki tempatan berusia 27 tahun itu membawa 40 gelen petrol bersama tiga tong gas LPG.
“Semua bahan bakar yang dianggarkan berjumlah keseluruhan 1,200 liter itu dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit.
“Juragan bot juga gagal mengemukakan lesen pendaftaran bot yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot bersama enjin serta semua muatan yang bernilai keseluruhan RM46,000 itu terus dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
Sementara itu, Ariffin berkata, hasil siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan ialah membawa bahan api dalam kuantiti kecil tetapi dilakukan secara berulang.
Katanya, taktik sindiket penyeludupan berkenaan perlu dibanteras secara berterusan dan pihaknya akan terus dipertingkatkan tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau yang sering menjadi laluan rentas sempadan.
“Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah di laut dan akan memastikan aset rondaan sentiasa bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.
“Orang ramai yang mempunyai informasi berkaitan sebarang jenayah maritim disarankan agar menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya.


















Comments