top of page

Bayi Lelaki Cukup Sifat Ditemui Dalam Kotak Di Ladang Sawit

  • nabalunews
  • 5 minutes ago
  • 1 min read

18 Januari 2026


KINABATANGAN: Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui ditinggalkan di kawasan ladang kelapa sawit Ladang Karangan Agriculture Sdn Bhd, di sini, pada Sabtu.


Bayi malang yang dipercayai baru berusia tiga hingga lima hari itu ditemui pekerja ladang berkenaan kira-kira jam 7.30 malam sebelum menghubungi pihak pengurusan ladang untuk mendapatkan bantuan.


Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Ravi A/L Duraisamy berkata, bayi berkenaan terus dibawa ke klinik ladang untuk pemeriksaan sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan bagi rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati bayi lelaki dengan berat kira-kira 2.4 kilogram itu berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederaan.


"Bayi berkenaan akan dirujuk ke Hospital Duchess of Kent untuk pemantauan lanjut dan tindakan susulan oleh pihak kebajikan.


“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi mata tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ravi berkata, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.


“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


"Usaha mengesan individu yang bertanggungjawab terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu sedang giat dijalankan," katanya.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.


Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Polis Daerah Kinabatangan di talian 089-561890 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Binti Dahon di talian 014-5573735.


"Kerjasama orang awam amat dihargai demi memastikan keselamatan serta kebajikan masyarakat, khususnya bayi tidak berdosa ini, terus terpelihara," katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page