Belia perintis jalan perpaduan - Limus
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

5 Mei 2025
KUALA PENYU: Keharmonian dan perpaduan sosial bukan hadir dengan sendirinya. Sebaliknya, ia mesti dibina, disemai dan disiram setiap hari,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.
Limus berkata, amalan ini juga perlu diserap dan disemai dalam diri belia kerana mereka adalah harapan dan sandaran negeri ini untuk menjadi jambatan yang menyambungkan semua kaum dan budaya.
"Kalau bukan kamu (belia) yang merintis jalan untuk perpaduan, siapa lagi? Usah jadi agen perpecahan, sebaliknya jadilah pemimpin perpaduan.
“Mulakan dengan hati yang terbuka, telinga yang sedia mendengar, dan tangan yang mahu bekerjasama.
“Kita bina Sabah ini bersama-sama, bukan secara bersendirian. Kalau ada silap, kita tegur. Kalau ada jurang, kita rapatkan. Kita satukan pemikiran, kita kukuhkan kerjasama demi masa depan anak cucu kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program Turun Padang (Perpaduan Sosial) KBS Kuala Penyu di Dewan Terbuka Kg Lambidan, Menumbok, pada Ahad.
Menurutnya, keharmonian dan perpaduan sosial bermula dari rumah, kemudian dibentuk di sekolah sebelum dihidupkan di kampung serta bandar dan akhirnya diperkukuhkan.
Limus, yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, Sabah sememangnya kaya dengan budaya, kaya dengan bangsa, kaya dengan adat.
"Tapi kekayaan sebenar bukanlah pada banyaknya suku kaum kita, tetapi pada keharmonian dan perpaduan sosial yang terjalin antara kita semua.
"Perpaduan bukan barang mewah. Ia bukan pilihan. Ia satu keperluan. Tanpa perpaduan, pembangunan tidak akan ke mana-mana.
“Negeri tidak akan maju kalau rakyatnya saling mencurigai, bergaduh hal remeh-temeh, atau sibuk mencari salah antara satu sama lain," katanya.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan sebaliknya ia adalah hala tuju.
"Tapi hala tuju ini hanya akan berjaya kalau kita semua melangkah seiring dan sejiwa. Jangan berpecah hanya kerana isu kecil, politik, perbezaan pendapat, atau sentimen sempit. Apa guna menang berdebat kalau negeri kita ketinggalan.
"Harapan dari hati saya yang ikhlas, jangan kita biarkan perbezaan menjadi jurang. Jangan kerana salah faham kecil, kita hilang hormat. Jangan sesekali kita renggang hubungan, kerana akhirnya nanti akan retak perpaduan sosial.
Ingatlah, negeri yang kuat adalah negeri yang rakyatnya bersatu padu, dan tetap setia berganding tangan walau diuji berbagai dugaan dan cabaran," katanya.
Comments