• Wartawan Nabalu News

Berjuang berasaskan dasar dan polisi, bukan fitnah dan pembohongan: Felix


Felix Joseph Saang

27 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) harus menjadi nadi penggerak utama dan benteng yang utuh terhadap parti itu.


Ketua Pemuda UPKO Pusat Felix Joseph Saang berkata, ini penting bagi memastikan agenda perjuangan parti untuk rakyat dapat dicapai.


“Saya menyeru kepada semua ahli UPKO untuk terus setia, tabah dan kental dalam semangat juang. Kita sama-sama meneruskan perjuangan rakyat bersama pucuk kepimpinan parti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bahas ucapan dasar Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau pada Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2021, di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.


Felix berkata, para pemimpin tertinggi parti dan ahli-ahli parti juga perlu memperhebatkan kekuatan di peringkat akar umbi.


“Program turun padang adalah perkara paling utama yang perlu dilakukan. Tanpa akar umbi yang utuh, agak sukar untuk kita melangkah lebih jauh.



“Kita terus berjuang atas prinsip politik yang berasaskan dasar dan polisi, bukannya politik fitnah, aib dan pembohongan,” katanya.


Mengenai Undi18, Felix berkata, UPKO memberi ruang dan peluang yang luas untuk anak-anak muda mengemukakan aspirasi, harapan dan impian mereka dalam parti itu.


“Kita akan memastikan golongan muda-mudi yang bakal mewarnai kancah politik Malaysia akan memilih UPKO sebagai wadah perjuangan mereka,” katanya.