PEKIDA perlu perluas peranannya dalam pembangunan belia
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

2 Jun 2025
PENAMPANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Mohd Salleh Tun Said mencadangkan agar PEKIDA memperluas peranannya dalam pembangunan belia melalui program jati diri dan kepimpinan.
Beliau berkata, pada masa yang sama PEKIDA juga hendaklah menubuhkan dana kebajikan khas untuk membantu golongan memerlukan, serta membina jaringan kerjasama rentas kaum bagi mengukuhkan keharmonian di Sabah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PEKIDA Daerah Penampang, di Dewan Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang dekat sini, kelmarin.
Salleh, yang juga Bendahari UMNO Sabah turut menekankan kepentingan PEKIDA sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan sahaja berperanan dalam kebajikan, tetapi turut menjadi wadah penting dalam memelihara nilai Islam, memperkukuh institusi keluarga dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.
“Dalam dunia hari ini, suara PEKIDA sangat diperlukan – bukan sekadar untuk berdakwah, tetapi untuk menjadi panduan moral dan agen perpaduan masyarakat,” katanya.
Beliau juga menyarankan agar pertubuhan ini lebih proaktif dalam memanfaatkan media sosial sebagai medium dakwah dan menyantuni generasi muda secara kreatif dan berhemah.
“Dakwah mesti bersifat hikmah – lembut tetapi tegas, jelas tetapi tidak memaksa. Dalam konteks Sabah yang majmuk, pendekatan penuh kasih sayang adalah kunci kejayaan,” katanya.
Mesyuarat tersebut menyaksikan penyertaan ahli PEKIDA dari seluruh daerah Penampang dan turut dihadiri oleh pimpinan PEKIDA Negeri Sabah.
Comments