"Biar kita tumbuk meja sama-sama" untuk dapatkan hasil persekutuan kepada Sabah - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

"Biar kita tumbuk meja sama-sama" untuk dapatkan hasil persekutuan kepada Sabah - Ewon



21 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: “Biar kita tumbuk meja sama-sama”, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick semasa berbahas berkaitan dengan pemberian hasil bersih persekutuan kepada Sabah di bawah Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan.


“Jika YB Menteri mahu tumbuk meja (jika Perjanjian Kerjasama Komersil (CCA) tidak memberi kelebihan kepada Sabah), maka biar kita tumbuk meja sama-sama (untuk dapatkan hasil persekutuan yang lebih besar kepada Sabah) ,” katanya.


Beliau menyatakan demikian selepas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun mencelah perbahasan beliau dan mengatakan bahawa Kerajaan tidak memansuhkan Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan tetapi formula 40% di bawah perkara itu tidak dapat dilaksanakan.


“Sebenarnya Kerajaan tidak menyerah formula 40% seperti dinyatakan dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan tetapi ianya tidak dapat dilaksanakan. Sebab itu Kerajaan Negeri telah mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan dan bersetuju kepada formula baharu. Ada yang telah dipersetujui dan ada yang masih dibincangkan,” kata Masidi.


Terdahulu di sebelah pagi, Masidi menyatakan beliau selaku ketua pasukan rundingan Kerajaan Negeri dengan Petronas dalam memuktamadkan CCA akan menumbuk meja dan keluar dari mesyuarat jika perundingan tidak memberi kelebihan manfaat kepada Sabah.


Ewon kemudiannya menyatakan Kerajaan perlu menjelaskan kenapa formula 40% tidak dapat dilaksanakan kerana rakyat Sabah mahukan jawapan selepas Menteri Kewangan Persekutuan menyatakan formula tersebut tidak lagi terpakai.


perlu ada sebab untuk tumbuk meja (iaitu dapatkan hasil yang lebih besar untuk Sabah. Biar kita tumbuk meja sama-sama (untuk ini) ,” kata Ewon.


Dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Menteri Kewangan Persekutuan Tengku Zafrul Aziz ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Penampang Datuk Darel Leiking menyatakan perkara berkaitan pemberian semula 40% hasil bersih Persekutuan dari Sabah sepertimana Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai kerana ada perundingan baharu di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.


“Saya minta pihak Kerajaan menjelaskan di Dewan ini apa mekanisme atau formula baharu yang telah dipersetujui tersebut sepertimana dinyatakan oleh Menteri Kewangan Persekutuan. Jika ianya tidak lebih baik daripada formula asal 40% tersebut, maka ianya sesuatu yang sangat tidak wajar dan merugikan rakyat Sabah.


“Saya ingin mengingatkan semua Ahli Dewan bahawa kita telah mengangkat sumpah menjadi Ahli Dewan ini dengan melafazkan sumpah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah. Perlembagaan Persekutuan masih dengan jelas menyatakan pemberian 40% hasil bersih persekutuan daripada Sabah dan ini perlu ditunaikan, bukannya dihapuskan,” kata Ewon.

bottom of page