Bimbang keselamatan pelajar, ibu bapa dan guru gesa tangguh pembukaan sekolahBimbang keselamatan pelajar, ibu bapa dan guru gesa tangguh pembukaan sekolah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bimbang keselamatan pelajar, ibu bapa dan guru gesa tangguh pembukaan sekolah


(dari kiri) Leah Mansah, Jupina Razan, Siti Noor Ashidah dan Mary Magdelene

14 Ogos 2021

Oleh Ilona Andrew dan Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Kebanyakan ibu bapa dan guru sekolah di Sabah belum bersedia menghantar anak mereka ke sekolah dan mendesak kerajaan supaya menagguhkan pembukaan sesi persekolahan yang dijadualkan pada 1 September ini, memandangkan kes Covid-19 ketika ini masih agak membimbangkan.


Bagi mereka, kerajaan telah menyediakan walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sesuai namun membiarkan murid-murid berada di perkarangan sekolah adalah risiko yang sangat besar.


Seorang ayah kepada murid 11 tahun, Jackson Lo, berkata beliau masih trauma dengan lonjakan kes Covid-19 di sekolah-sekolah sekitar Kota Kinabalu semasa sesi persekolahan dibuka semula pada Mac lalu.


"Sekolah anak saya adalah antara satu sekolah yang terpaksa ditutup akibat kes Covid-19. Ketika itu, saya merasa seperti seorang bapa yang tidak bertanggungjawab kerana menghantar anak ke sekolah dengan sangkaan keselamatannya terjamin.


"Saya sedar Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam talian agak rumit, namun saya lebih rela tidak menghantar anak saya ke sekolah serta tidak memperjudikan kesihatan dan nyawanya," katanya ketika ditemubual Nabalu News, semalam.


Bagi Leah Mansah, 37, beliau gembira melihat ketiga anaknya teruja mendengar sesi persekolahan akan dibuka semula namun beliau memilih untuk tidak menghantar mereka ke sekolah buat masa ini.


"Rasanya kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah akan bersetuju dengan saya bahawa Kemeterian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menangguh pembukaan semula sesi persekolahan, terutamanya sekarang di mana varian Covid-19 lebih kuat telah dikenal pasti di Malaysia.


"Selain tidak dapat bersosial secara fizikal dengan rakan dan guru mereka, saya melihat tiada masalah bagi mereka untuk mengikuti PdPR buat masa ini.


"Sejujurnya, saya sukar untuk percaya bahawa Kerajaan mempunyai SOP yang sesuai untuk pembukaan sekolah. Seharusnya ada SOP yang berdasarkan bukti tapi buat masa ini masih tidak ada," jelas Leah.


Bagi Jupina Razan, 40, sesi persekolahan perlu ditangguh sementara waktu kerana kes harian Covid-19 masih tinggi dan ia bukan sahaja merisikokan kesihatan murid sekolah tetapi juga guru-guru.


"Walaupun kebanyakkan guru telah menerima vaksin, sebaiknya kita teruskan dengan PdPR kerana vaksinasi memerlukan masa untuk membangunkan imunisasi dalam tubuh kita.


"Kita juga seharusnya menunggu sehingga situasi bertambah baik sebelum membenarkan anak-anak ke sekolah. Lagipun, mereka sudah terbiasa dengan kelas atas talian.


"Memang tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan amat penting, tetapi adalah lebih penting untuk memastikan anak-anak kita selamat,” kata ibu kepada empat orang anak yang berasal dari Kota Belud itu.


Sementara itu Moh Ikhwan berkata, beliau bimbang sekiranya sekolah dibuka semula pada September ini, timbul kluster baharu di sekolah kerana murid sekolah masih belum menerima vaksin.


"Memang benar pendidikan itu penting, tetapi bagi saya, yang terbaik pada masa ini ialah kerajaan memberi tumpuan utama untuk memerangi Covid-19 dan mencari kaedah terbaik memutuskan rantaian jangkitan atau penularan wabak ini.


"Apabila kita menang, barulah sekolah boleh dibuka semula dan pelajar pun dapat kembali belajar seperti biasa tanpa perasaan bimbang,” katanya.


Selain ibu bapa, kebanyakan guru-guru yang ditemui Nabalu News juga turut mendesak KPM supaya menangguh pembukaan sesi persekolahan kerana masih ada kekurangan dalam perancangan serta pelaksanaan yang teratur dan strategik oleh kementerian itu.


Walaupun mereka lebih suka mengajar dalam kelas fizikal namun guru-guru ini mengakui jangkitan dan kadar kematian baru Covid-19 yang dilaporkan setiap bari di negara ini masih sangat merisaukan.


“Sebagai pendidik, saya merasakan kesihatan dan nyawa para pelajar lebih penting dan harus diutamakan.


"Kami telah mengalaminya sebelum ini di mana sekolah ditutup hanya dalam beberapa minggu selepas pembukaan pada Mac lalu. Jangan ulangi kesilapan yang sama," kata Siti Noor Ashidah, guru sains dari Lahad Datu.


Bagi guru tadika, Mary Magdelena, beliau berpendapat bahawa waktu yang tepat untuk sekolah menengah dibuka semula adalah pertengahan Oktober.


“Ini kerana vaksinasi bagi mereka yang berumur 12-17 tahun akan bermula pada 15 September dan mungkin akan mencapai imuniti berkelompok pada pertengahan Oktober.


"Saya percaya semua ibu bapa sebulat suara mahu KPM menangguhkan pembukaan sekolah kerana risau akan keselamatan anak-anak mereka," katanya.


Baru-baru ini, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk pengajaran dan pembelajaran bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat.


Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

bottom of page