top of page

Bina stesen janakuasa arang batu di Tawau

  • nabalunews
  • Sep 17
  • 2 min read

 Philip Yap
 Philip Yap

17 September 2025


TAWAU: Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Sabah, Philip Yap (gambar) berkata sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan satu stesen janakuasa arang batu (Coal Power Plant) dibina di bahagian pantai timur, khususnya di Tawau, susulan gangguan elektrik yang melanda sejak Sabtu lalu.


Katanya, projek itu dilihat sebagai langkah mengurangkan kebergantungan tenaga elektrik dari pantai barat, sekaligus menampung keperluan bekalan elektrik di pantai timur bagi tempoh 20 - 30 tahun yang akan datang.


Menurutnya, tenaga yang ada sekarang adalah 80 peratus bergantung kepada tenaga gas asli dan stesen janakuasa arang batu merupakan satu punca tenaga alternatif, sekiranya berlaku kekurangan bekalan tenaga gas asli pada masa akan datang.


Philip berkata, pembinaan Southern Grid kini giat dijalankan untuk melengkapkan Loop Grid di seluruh Sabah bagi menstabilkan bekalan elektrik di negeri ini.


Katanya, penyambungan Southern Grid harus disegerakan kerana mengikut jadual projek itu akan siap menjelang tahun 2030.


"Di sini saya menggesa pihak Sabah Electricity (SE) agar mempercepatkan penyambungan Southern Grid supaya bekalan elektrik di pantai timur mencapai tahap stabil,"katanya dalam sidang media di sini, hari ini.


Sambil melahirkan rasa kesal dengan isu bekalan ini, Philip yang juga Kaunselor Majlis Perbandaran Tawau (MPT), berharap semua pihak dapat bersabar menempuh dugaan ini sehingga proses pembaikan selesai.


"Kita sedia maklum ini adalah satu bencana alam yang kita tidak ingini. Saya juga bersimpati terhadap tiga pegawai teknikal SE Keningau yang dihanyutkan arus deras dalam kemalangan semasa melalui sungai ketika menjalankan tugas pada lewat malam.


"Merekalah yang bertungkus lumus membantu kita untuk menyelenggara kerosakkan dan bukan mudah untuk mereka untuk melaksanakan tugas dengan cuaca buruk pada ketika ini. Saya memuji kecekapan dan kepantasan tindakan SE menangani isu ini,"katanya lagi.


Sementara itu, Philip menegaskan bahawa kejadian ini berlaku akibat bencana tanah runtuh di salah satu Tower Grid (Kolopis - Segaliud) yang merupakan satu - satunya grid penyambungan bekalan elektrik dari pantai barat ke pantai timur.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page